Isnin, 20 Mac 2017

Malang lagi bagi Malaysia


 

ARKIB : 25/01/2002
Mohd. Rodhanizam Mohd. Nor (11) dan Mohd. Mazli Ikmar (kanan) mengasak ke pintu gol Belanda dalam Kejohanan Hoki Enam Negara di Bukit Jalil, semalam. Belanda menang 3-2. - Gambar IZHAM JAAFAR.

PAKISTAN mengesahkan kedudukannya sebagai juara peringkat awal Kejohanan Hoki Enam Negara selepas seri 2-2 dengan Australia di Bukit Jalil semalam, sementara Malaysia tersungkur ke tangga kelima apabila tunduk kepada Belanda dalam satu lagi perlawanan.

Perlawanan Pakistan-Australia semalam lebih kepada menjaga maruah kerana sebarang keputusan tidak akan mengubah kedudukan masing-masing selaku juara dan naib juara peringkat kumpulan ini.

Ia bermakna kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada perlawanan akhir esok.

Australia, yang menewaskan Pakistan untuk memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Sydney dua tahun lepas, sudah mengesahkan tempat ke perlawanan akhir apabila Malaysia tumpas ke Belanda dalam perlawanan terdahulu.

Skuad Kookaburra mendahului Pakistan menerusi Jeremy Hiskins pada minit ke-3 tetapi Kashif Jawad menyamakan kedudukan pada minit ke-25.

Hiskins sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-32, namun Sohail Abbas menyelamatkan maruah Pakistan dengan rembatan tepat menerusi sudut penalti pada minit ke-38.

Sementara itu, harapan Malaysia untuk merebut sekurang-kurangnya perlawanan penentuan ke-3/4 hapus setelah mengulangi kesilapan lama.

Ia adalah kegagalan yang begitu menghampakan bagi skuad negara kerana pada satu ketika kelihatan mampu mengejutkan Belanda tetapi bermain tidak mengikut sistem pada 15 minit terakhir untuk membenarkan juara dunia dan Olimpik itu bangkit dan mencipta kemenangan.

Selepas mendahului 2-1 menerusi jaringan gol ketua pasukan, Mirnawan Nawawi dan S. Shanker masing-masing pada minit ke-42 dan 47, anak buah Paul Lissek menghadiahkan lawan peluang untuk bangkit dan mencatat kemenangan.

Belanda yang lebih dulu membuka tirai jaringan pada minit ke-18 hasil pukulan sudut penalti Teun de Nooijer menggunakan peluang yang terhidang pada babak kedua dengan baik untuk menghasilkan gol kedua mereka pada minit ke-55 menerusi Karel Klaver sebelum Jaap Derk Buma menolak masuk gol kemenangan lima minit selepas itu.

Jurulatih negara, Paul Lissek begitu kecewa dengan persembahan pasukannya.

``Beberapa pemain nampaknya ingin menunjukkan kehandalan individu mereka. Saya bukan marah kepada semua tetapi kepada pemain-pemain ini yang saya anggap tidak berdisiplin,'' jelasnya dengan nada kecewa.

Lissek juga kecewa kerana beliau nyaris meletakkan Nor Azlan Bakar dalam kedudukan lebih parah akibat kecederaan hamstring.

``Adalah salah kerana memberitahu saya bahawa Nor Azlan sudah cergas untuk bermain,'' kata Lissek yang memasukkan pemain pertahanan itu pada lima minit pertama perlawanan semalam.

Kemenangan Belanda mengekalkan mereka di tangga ketiga kedudukan pusingan awal ini Ñ mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri untuk bertemu New Zealand dalam perlawanan penentuan tempat ke-3/4 esok sementara Malaysia akan berusaha mengelak daripada berada di tempat tercorot apabila bertemu Jepun dalam penentuan tempat ke-5/6.

New Zealand menempah perlawanan dengan Belanda selepas seri 3-3 dengan Jepun dalam satu lagi perlawanan semalam, merampas tangga keempat dengan hanya berbekalkan kelebihan perbezaan gol dengan Malaysia.

Pasukan Kiwi memperoleh gol-golnya menerusi David Kosoof (minit 20), Bevan Hari (14) dan Phillip Burrows (65) sementara Jepun oleh Akira Takahashi (11) dan ketua pasukannya, Takahiko Yamabori (21, 67)
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bqyIu4mC

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan