Selasa, 21 Mac 2017

Malang saingan pembukaan - Strategi bertahan buka peluang Australia untuk menyerang -ÊLissek



ARKIB : 25/02/2002
 
Penjaga gol Malaysia, Roslan Jamaluddin berusaha menahan bola daripada diasak pemain Australia, Jamie Dwyer sambil diperhatikan oleh Maninderjit Singh (kiri) pada aksi Kejohanan Hoki Piala Dunia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia tewas 3-0.

MALAYSIA terpaksa akur kepada kehebatan pasukan pilihan, Australia yang bangkit pada babak kedua untuk meraih kemenangan 3-0 pada perlawanan kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Dunia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Selepas skuad negara memberikan aksi terbaik mengekang jentera serangan lawan untuk mengikat kedudukan 0-0 pada babak pertama, gawang negara akhirnya bolos tiga kali apabila perlawanan bersambung.

Pada babak pertama, Australia, bekas juara dunia 1986 yang menggunakan corak permainan pantas untuk mencemaskan kesebelasan negara seawal minit pertama permainan tetapi percubaan Jamie Dwyer tersasar ke kiri gawang yang dikawal oleh Roslan Jamaluddin.

Pada minit ke-13, malang menimpa S. Kuhan yang terkena kayu hoki lawan di muka, namun pemain tengah negara itu meneruskan aksi dengan memakai kain balut.

Gawang Malaysia terus diuji lima minit kemudian, namun dua percubaan pukulan sudut penalti berjaya digagalkan oleh Roslan. Malaysia kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas K. Gobinathan dikeluarkan selama lima minit dilayangkan kad kuning akibat mengasari lawan pada minit ke-27.

Malaysia mendapat peluang terbaik untuk mendahului permainan pada minit ke-37, tetapi hantaran bola hasil pukulan percuma yang dilakukan Maninderjit Singh gagal dikuis masuk oleh R. Shanker sekalipun hanya berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Australia, Lachlan Dreher.

Australia yang melakukan asakan bertubi-tubi akhirnya memperoleh gol pertama menerusi Michael McCann pada minit ke-41, sebelum Troy Elder menyumbat dua gol lagi untuk melengkapkan kemenangan pasukannya.

Elder menghasilkan gol kedua Australia hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-49 dan memastikan kejayaan pasukan itu menerusi pukulan bola padang pada minit ke-67.

Jurulatih negara, Paul Lissek berkata Australia berhak menang setelah Malaysia hanya mempamerkan corak permainan bertahan sejak minit pertama.

Katanya, strategi itu mungkin berhasil kerana skuad negara memiliki penjaga gol yang hebat dan barisan pertahanan yang kebal, tetapi ia tidak selama-lamanya akan terus kukuh.

``Strategi itu sebenarnya membuka peluang kepada Australia untuk menyerang kerana semua pemain kita berkampung di dalam kawasan D sebaik sahaja bola terlepas kepada lawan.

``Sepatutnya kita perlu ada seorang atau dua pemain di tengah padang agar Australia tidak berleluasa di dalam kawasan kita,'' katanya.

Lissek dapat merasakan bahawa anak buahnya terlalu berhati-hati dan tidak mahu menanggung risiko dibolosi terlalu banyak gol kerana Australia diketahui sebagai pasukan pilihan.

``Sepatutnya pemain-pemain kita tidak malu menunjukkan kepada lawan akan kebolehan sendiri kerana kita memang mempunyai kemampuan untuk memberikan saingan,'' tegasnya.

Jurulatih Australia, Barry Dancer pula berkata keadaan padang yang licin memberikan sedikit masalah kepada pasukannya.

``Bagaimanapun ia bukan sebab utama mengapa kami tidak boleh bertindak cemerlang dalam perlawanan seterusnya. Kami bernasib baik kerana sempat menjalani latihan selama beberapa hari di padang ini sebelum kejohanan bermula,'' jelasnya.

Sementara itu, Jepun hampir melakukan kejutan sebelum India bangkit untuk mengutip satu mata selepas kedua-dua pasukan seri 2-2 dalam satu lagi perlawanan kumpulan B.

Jepun mengejutkan pasukan gergasi Asia itu apabila mendahului permainan hasil jaringan Takahiko Yamabori pada minit ke-10 untuk kedudukan 1-0 pada babak pertama.

Pasukan negara matahari terbit itu terus mempamarkan aksi hebat dengan gol kedua yang disumbat masuk oleh Kazuyuki Ozawa, hanya seminit selepas babak kedua bermula.

Begitupun, India menggunakan pengalamannya untuk menafikan kemenangan lawan dengan menghasilkan dua gol berturut-turut. Penyerang berbisanya, Dhanraj Pillay mendekat jurang apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-41.

Enam minit kemudian giliran Deepak Thakur pula menghukum kelalaian barisan pertahanan Jepun dengan menewaskan penjaga gol lawan, Jun Takahashi.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bwuwX3O2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan