Selasa, 21 Mac 2017

Malaysia baham England



ARKIB : 03/03/2002
 
Pemain England, Mark Pearn cuba melepasi pemain, Chairil Anuar dan penjaga gol, Roslan Jamaluddin pada Kejohanan Hoki Lelaki Piala Dunia di Stadium Nasional Bukit Jalil. Gambar Abd. Rahman Saleh.

MALAYSIA merakamkan kemenangan ketiganya dengan menewaskan England 2-1 dalam perlawanan kumpulan B yang disaksikan kira-kira 16,000 penyokong pada Kejohanan Hoki Piala Dunia 2002 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Malaysia memperoleh gol pertama menerusi pukulan penalti strok yang disempurnakan oleh Maninderjit Singh untuk menewaskan penjaga gol England, Jimi Lewis seawal minit kesembilan permainan.

Pengadil menghadiahkan pukulan itu yang berpunca daripada tindakan pemain lawan, Jon Wyatt yang menampan tinggi bola pukulan sudut penalti yang dilakukan oleh S. Kuhan.

Begitupun, kecuaian pertahanan negara yang membiarkan penyerang lawan, Dave Mathews membolosi kawasan D pada minit ke-20 hampir membawa padah apabila dia sempat menguji kecekapan penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin yang bertindak pantas menyelamatkan keadaan.

Skuad negara menambah tekanan, dua minit selepas babak kedua disambung, namun pukulan percuma oleh Chua Boon Huat dari luar kawasan D yang dirembat tepat oleh S. Shankar berjaya ditepis keluar oleh Lewis.

Malaysia bagaimanapun meraikan gol kedua menerusi jaringan Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Noor yang menguis masuk bola hasil set-piece cantik, berpunca daripada pukulan sudut penalti oleh S. Kuhan pada minit ke-40. Roslan kemudian meneruskan kecemerlangan dengan dua kali menyelamatkan gawang negara apabila mengagalkan percubaan berbahaya lawan menerusi Jerome Goudie dan Mathews pada minit ke-50 dan 51.

Penyerang negara, Mohd. Fairuz Ramly hampir mencatat nama sebagai penjaring menerusi percubaan solo dengan membawa bola dari luar kawasan D sebelum melakukan rembatan pada minit ke-59, tetapi usahanya digagalkan oleh Lewis.

Namun usaha keras England untuk memburu jaringan akhirnya membuahkan hasil Mathews menyumbat masuk bola pukulan sudut penalti pada minit ke-63 untuk kedudukan muktamad menyebalahi Malaysia dengan kemenangan 2-1.

Kemenangan itu bagaimanapun mengekalkan skuad negara di tempat keempat di belakang England, selepas masing-masing mengumpul sembilan mata daripada lima perlawanan, tetapi dipisahkan oleh perbezaan jaringan.

Ketua jurulatih negara, Paul Lissek cukup bangga dengan aksi cemerlang anak buahnya yang disifatkan mampu mencapai matlamat untuk meraih 10 tempat teratas, sekali gus memperbaiki kedudukan ke-11 di Utrecht, Belanda empat tahun lalu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bxMbDrZT© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan