Ahad, 26 Mac 2017

Malaysia cipta kemenangan bergaya



ARKIB : 06/01/2003
PENYERANG Malaysia, Mohd. Redza Maadun (kanan) melompat untuk mengelak asakan penjaga gol Korea Selatan, Kim Jae-young pada perlawanan hari pembukaan Kejohanan Hoki Jemputan Bawah 19 di Bukit Jalil, semalam. Malaysia menang 3-1. - Gambar SHAMSUL ARIFFIN CHE OMAR.

PERMAINAN penuh skil skuad Malaysia memukau Korea Selatan ketika mencipta kemenangan pertama, 3-1 pada hari pembukaan Kejohanan Hoki Jemputan Lelaki Bawah 19 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Gol-gol Malaysia dijaringkan oleh Megat Azrafiq Termizi, Mohd. Redza Maadun dan Mohd. Fakhrulrazi Baharudin.

Bagaimanapun, Korea Selatan yang terkenal dengan permainan fizikal, cepat mendapat rentak. Mereka terus mendahului 1-0 ketika permainan baru berusia tiga minit menerusi gerakan padang yang disempurnakan oleh Woo Dae Myung.

Di sebalik mendapat gol pendahuluan, jaringan Korea itu seperti mengejutkan harimau tidur apabila Malaysia bangkit dengan garang untuk menyusun serangan yang bertali arus.

Permainan selepas itu menjadi berat sebelah apabila kawasan D Korea sering di bolosi oleh barisan penyerang skuad negara tetapi hanya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-18 menerusi pukulan sudut penalti menerusi pemain pertahanan, Megat Azrafiq Termizi.

Skuad negara berpeluang mendahului pada minit ke-22 apabila diberikan pukulan penalti setelah penyerang, Mohd. Redza Maadun dijatuhkan oleh penjaga gol lawan, Kim Jae-young.

Bagaimanapun, Jae-young menebus kesilapannya dengan menepis keluar tolakan lemah Megat Azrafiq yang menuju penjuru atas sebelah kiri gawang gol.

Namun, kekebalan Jae-young tidak bertahan lama apabila serangan balas skuad negara pada minit ke-31 disudahkan dengan baik oleh Mohd. Redza untuk Malaysia mendahului 2-1.

Mohd. Redza yang mendapat bola di kawasan tengah membuat hantaran jauh kepada Muhd. Fikri Bassar yang kemudian menolak semula kepada rakannya itu untuk penyudahan kemas.

Ketika Korea berusaha kembali kepada rentak pantas selepas rehat, rancangan mereka terencat oleh hujan lebat yang memaksa perlawanan dihentikan kira-kira 15 minit.

Hujan lebat itu jelas membawa rahmat kepada skuad negara yang dibimbing oleh Stephen van Huizen apabila menyambung semula rentak garang selepas permainan disambung semula dengan gerakan-gerakan yang menghiburkan peminat setia hoki tempatan.

Korea jelas tidak memiliki pertahanan berwibawa untuk menyekat gerakan-gerakan kemas skuad negara yang menambah gol ketiga menerusi pemain tengah, Mohd. Fakhrulrazi Baharudin yang menggelecek dua pemain pertahanan sebelum melepaskan rembatan kencang dari hujung kawasan D pada minit ke-55.

Sementara itu, India menewaskan Pakistan 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal untuk mengukuhkan jangkaan awal bahawa mereka adalah pasukan pilihan untuk muncul juara.

Kedua-dua gol India dijaringkan oleh Gurucharn Singh, satu pada setiap babak perlawanan.

Gurucharn meletakkan India pada laluan kemenangan apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-10 sebelum menambah satu lagi gol pada minit ke-47.

``Saya gembira kerana pemain-pemain saya mengikut arahan, tidak seperti ketika kami bermain di Kaherah,'' kata jurulatih India, Harinder Singh selepas perlawanan.

``Ini adalah kejohanan kedua pasukan ini selepas kejohanan di Kaherah itu dan saya bangga dengan peningkatan yang mereka tunjukkan.''

Pada kejohanan di Kaherah, India muncul juara Ñ mengatasi saingan yang diberikan oleh Mesir, Pakistan dan Perancis.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cRpKaE1y
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan