Sabtu, 18 Mac 2017

Malaysia kejutkan England - Hoki Remaja:

ARKIB : 27/08/2001
MALAYSIA menewaskan England 4-0 pada perlawanan pembukaan Kejohanan Hoki Remaja Jemputan Lima Negara di Stadium Hoki Nasional di Kuala Lumpur, semalam.

Malaysia mendahului 2-0 pada separuh masa menerusi jaringan K. Logan Raj dan Azlan Misron. Dua gol lagi dijaringkan oleh Mohd. Fairus Ramli dan S. Shankar.

Pasukan tuan rumah memecah kebuntuan seawal minit kelapan hasil set-piece pukulan percuma di luar kotak penalti lawan. Norhanafi Omar memukul bola ke dalam kawasan penalti menuju terus kepada Logan yang menguis mudah untuk menewaskan penjaga gol Paddy Aldridge.

Malaysia yang banyak menguasai permainan menambah jaringan pada minit ke-26 menerusi pukulan sudut penalti. Azlan Misron menolak bola kepada ketua pasukan Chua Boon Huat yang menolak balik kepada Azlan yang berada di depan pintu gol untuk menjaringkan gol.

Kecekapan Aldridge menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi sebanyak tiga kali selepas itu. England cuba bangkit pada separuh masa kedua tetapi mendapati kubu pasukan tuan rumah dan penjaga golnya Mohd. Firdaus Razali sukar ditembusi. Pasukan Malaysia kembali mengatur serangan yang banyak bermula daripada gerakan di bahagian bawah.

Pukulan percuma pada minit ke-50 yang diambil berhampiran kotak penalti England sekali lagi menghasilkan gol dan kali ini Boon Huat meleretkan bola kepada Mohd. Fairus yang memintas seorang pemain lawan sebelum melepaskan pukulan.

Gol keempat dijaringkan enam minit kemudian oleh Shankar menerusi pukulan sudut penalti.

Jurulatih Yahya Atan yang gembira dengan keputusan itu bagaimanapun kurang berpuas hati dengan prestasi pemain tengah yang agak lambat turun membantu pertahanan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bjo9YYWm

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan