Selasa, 21 Mac 2017

Malaysia layak buru kedudukan kelima hingga kelapan - Kerja keras untuk seri



ARKIB : 06/03/2002
PEMAIN pertahanan Malaysia S. Kuhan (tengah) dipeluk oleh Tajol Rosli Mohamed ketika meraikan gol penyamaan pada perlawanan dengan Poland dalam Kejohanan Hoki Piala Dunia 2002 di Bukit Jalil, semalam. Malaysia dan Poland seri 2-2.

MALAYSIA terpaksa bertungkus lumus sebelum memastikan keputusan seri 2-2 dengan Poland pada perlawanan terakhir kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Dunia 2002 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Keputusan itu mengesahkan Malaysia di tangga ketiga kumpulan B dengan 13 mata, di belakang Australia dan Korea Selatan bagi memburu kedudukan kelima hingga lapan, manakala Poland bersaing untuk tempat ke-13 hingga 16 selepas mengumpul empat mata.

Namun cabaran berikutnya lebih sukar apabila skuad negara dijadualkan bertemu Pakistan, penghuni tangga keempat kumpulan A, yang tumpas 3-2 kepada Jerman semalam.

Turun dengan harapan tipis ke separuh akhir selepas Korea Selatan tewas mengejut 2-0 kepada England, anak buah Paul Lissek bertekad memburu jaringan besar sebaik memperoleh gol pertama menerusi pukulan sudut penalti oleh M. Jiwa seawal minit ketujuh permainan.

Namun Poland bangkit menyamakan kedudukan juga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Eugeniusz Gaczkowski untuk menewaskan penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin, lima minit kemudian.

Pada minit ke-16, jentera serangan negara sekali lagi menguji gawang Poland hasil hantaran 1-2 antara Mohd. Fairuz Ramly dan ketua pasukan, Mirnawan Nawawi sebelum bola dilorongkan kepada Mohd. Rodhanizam Mat Radzi, namun percubaan penyerang itu berjaya digagalkan oleh penjaga gol lawan, Marcin Pobuta.

Selepas menamatkan babak pertama terikat 1-1, Poland menggandakan asakan dan kembali mendahului permainan menerusi Gaczkowski yang menghasilkan gol keduanya hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-46.

Kira-kira 10 minit kemudian, Poland hampir menambah jaringan, namun rembatan masuk yang dilakukan Tomasz Spalek hasil pukulan sudut penalti dibatalkan oleh pengadil.

Skuad negara bagaimanapun tidak patah semangat dan berjaya menjadikan kedudukan 2-2 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh S. Kuhan pada minit ke-62.

Sebelum aksi Malaysia, England membuka sedikit ruang kepada skuad negara apabila menumpaskan Korea Selatan 2-0, namun anak buah Lissek perlu memastikan kemenangan besar sekurang-kurangnya 9-0 jika mahu mencapai impian itu dan keputusan seri meleburkan impian itu.

England menebus kembali kekalahan 5-4 kepada Korea Selatan, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Sydney dua tahun lalu, apabila memulakan aksi bergaya dengan memperoleh kedua-dua gol pada babak pertama permainan.

Dave Mathews muncul wira England apabila menyumbat masuk kedua-dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-31 dan 33, sekali gus memastikan pasukannya berpeluang merebut tempat ke lima hingga lapan pada edisi ke-10 ini.

Sekali pun kalah, Korea Selatan yang mengumpul 15 mata di tangga kedua, masih gagah untuk meneruskan cabaran ke separuh akhir bertemu juara kumpulan A, Jerman esok.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bxVsWAGi© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan