Ahad, 19 Mac 2017

Malaysia lega

ARKIB : 15/10/2001
Daripada: SAADON JAAFAR
HOBART - Malaysia terselamat daripada diaibkan oleh Scotland selepas mencatat keputusan seri 1-1 untuk mengutip satu mata dalam perlawanan kumpulan H bagi merebut tempat kesembilan hingga 16 Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di Pusat Hoki Tasmania di sini semalam.

Skuad negara yang menguasai babak pertama dicemaskan oleh asakan penyerang Scotland, Stott Niall seawal minit ketujuh permainan, tetapi percubaannya gagal menepati sasaran sebelum serangan balas dilancarkan oleh gandingan Zaharin Zakaria dan Muhammad Amin Rahim pada minit ke-27.

Malaysia bagaimanapun berjaya memecahkan kebuntuan hanya dua minit sebaik babak kedua bersambung pada apabila pemain gantian Mohd. Fairuz Ramli menguis masuk bola hantaran jauh dari sebelah kanan pintu gol lawan untuk skuad negara mendahului 1-0.

Begitupun, Scotland bijak mencuri ruang akibat kesilapan M. Jiwa yang berlengah ketika melakukan hantaran dan mudah dirampas oleh David Mitchell yang menghantar bola kepada ketua pasukannya, Laurence Docherty yang merambat masuk gol penyamaan pada minit ke-46.

Jurulatih negara, Yahya Atan menyifatkan keputusan seri itu agak melegakan selepas Malaysia gagal menyempurnakan beberapa peluang ketika Scotland bertindak lebih garang pada babak kedua permainan.

``Kebanyakan pasukan mempamerkan peningkatan pada kejohanan ini dan kita tidak boleh menganggap Scotland sebagai pasukan lemah. Kita banyak peluang untuk menghasilkan gol, tetapi gagal disempurnakan.

``Apapun, mengutip satu mata daripada perlawanan ini tetap penting daripada kalah. Kita kini kena memastikan aksi lebih mantap apabila berdepan Afrika Selatan, Selasa ini (esok),'' kata Yahya.

Namun Afrika Selatan semalam, mempamerkan aksi terbaiknya untuk meraih kemenangan tipis 3-2 ke atas Chile untuk mengutip tiga mata penuh dalam saingan kumpulan sama bagi mendahului carta kumpulan.

Dua gol jaringan Alan Stein pada minit ke-31 dan 50 gagal menghalang Afrika Selatan untuk meraihkan kejayaan hasil rembatan, Ryan Ravenscroft pada minit ke-34, Ian Haley (43) dan gol kemenangan oleh Iain Evans, minit ke-60. – Utusan
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bleWHICL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan