Selasa, 21 Mac 2017

Malaysia nyata kurang manfaatkan peluang



ARKIB : 05/03/2002
MALAYSIA berjaya mencapai misi memastikan kedudukan lapan tempat teratas yang cukup melegakan ketua jurulatih negara, Paul Lissek selepas menyaksikan skuad negara meraikan kemenangan keempat dengan menewaskan Cuba 4-2 pada hoki Piala Dunia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Begitupun, beliau kurang berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang disifatkan gagal memanfaatkan peluang terbaik menghasilkan kemenangan lebih selesa.

Kejayaan itu membolehkan Malaysia meneruskan aksi bagi saingan memburu kedudukan kelima hingga lapan.

Sebelum bertemu Cuba, Lissek sudah merangka strategi mantap bagi membolehkan skuad negara menghasilkan jaringan besar, bagaimanapun hasratnya itu gagal dilaksanakan oleh skuad negara.

``Nasib kita agak malang hari ini. Ia bukan satu perlawanan yang baik kerana pasukan kita banyak melakukan kesilapan. Mereka bersikap terlalu yakin terhadap lawan.

``Sebenarnya saya sudah merancang lebih awal supaya skuad negara memperoleh jaringan besar apabila berdepan Cuba. Namun segalanya tidak berhasil,'' katanya.

Mengenai kejayaan skuad negara mencapai matlamat, beliau berkata, ia adalah sesuatu yang boleh dibanggakan selepas mengharungi enam perlawanan sukar, sebelum mengharungi aksi terakhir kumpulan menentang Poland hari ini.

``Saya gembira impian kita untuk mengisi lapan tempat teratas sudah tercapai dan jika mampu pergi lebih jauh daripada itu maka ia boleh dianggap bonus.

``Kita mencapai sasaran itu selepas usaha keras selama 12 bulan, tetapi mungkin belum masanya buat skuad Malaysia memastikan empat kedudukan teratas,'' ujarnya.

Kemenangan ke atas Cuba menyaksikan Malaysia mengumpul 12 mata, termasuk hasil kejayaan menewaskan Jepun 1-0, India 3-2 dan England 2-1 untuk menghuni tangga ketiga kumpulan di belakang Australia dan Korea Selatan.

Malaysia ketinggalan kali pertama seawal minit kelapan menerusi jaringan Jose M. Rodriguz Garcia yang menyempurnakan hantaran kemas Yoandi Blanco Hernandez.

Skuad negara menyamakan kedudukan apabila bola pukulan sudut penalti Maninderjit Singh dikuis masuk Chairil Anwar Abdul Aziz minit ke-10 untuk menewaskan penjaga gol Cuba, Yeol Gomez Aguilar.

Cuba sekali lagi mendahului lima minit kemudian apabila pemain pertahanan negara, Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Noor terkuis masuk bola pukulan terus Yuniel Rodrigues Hernandez.

Skuad negara memastikan babak pertama berkesudahan 3-2 apabila berjaya menambah dua gol lagi minit ke-25 dan 29.

Hantaran ketua pasukan, Mirnawan Nawawi dirembat masuk oleh pemain gantian, Mohd. Fairuz Ramly, sebelum jaringan keempat oleh S. Kuhan hasil pukulan sudut penalti.

Malaysia memperkemaskan jentera pertahanan dan berjaya menggagalkan asakan lawan, sebelum serangan balas yang dilancarkan menghasilkan gol kemenangan negara pada minit ke-38.

Kuhan sekali lagi meneruskan keunggulan barisan negara apabila bertindak pantas menolak masuk bola pukulan sudut penalti untuk kedudukan muktamad 4-2.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bxTCajis© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan