Sabtu, 25 Mac 2017

Malaysia, Pakistan penentu gangsa



ARKIB : 11/10/2002
BUSAN - Malaysia dipaksa bermain dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat menentang Pakistan apabila tewas 2-0 kepada tuan rumah, Korea Selatan pada separuh akhir hoki lelaki Sukan Asia XIV di Stadium Hoki Gangseo, semalam.

Gol kemenangan Korea Selatan diperoleh pada minit ke-41 menerusi Jeon Jong-Ha dan minit ke-62 melalui Yeo Woon-Kon - kedua-duanya menerusi pukulan sudut pendek.

Babak pertama permainan menyaksikan kedua-dua pasukan terlalu berhati-hati, bagaimanapun beberapa cubaan bahaya yang dilakukan pemain sesekali mengejutkan penjaga gawang.

Seawal minit ke-15, Korea Selatan memperoleh pukulan sudut penalti apabila Hwang Jong-Hyun dikasari. Tetapi cubaan itu berjaya dihalang barisan Malaysia.

Malaysia turut diberikan pukulan sudut penalti pada minit ke-21, namun ia gagal disempurnakan oleh Chua Boon Huat.

Permainan Korea Selatan bertambah agresif selepas itu, yang menyaksikan barisan pertahanan Malaysia terpaksa bekerja keras.

Hwang sekali lagi melakukan cubaan bahaya selepas berada di kawasan kotak penalti apabila dia menguis bola ke belakang dan melantun tepat ke arah penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin.

Bagaimanapun pada minit ke-27, Malaysia memperoleh peluang menjaringkan gol apabila Chairil Anwar yang meluru ke hadapan gagal menampan kemas bola hantaran K. Keevan Raj.

Sebaik babak kedua permainan bermula, Malaysia gagal mendapat pukulan sudut penalti berbanding Korea Selatan dan pada minit ke-39, tuan rumah sekali lagi melakukan cubaan itu menerusi pukulan yang dibuat oleh Woon-Kon, tetapi tidak menghasilkan gol.

Beberapa lagi percubaan diperoleh oleh Korea pada minit ke-53 dan 57 tetapi gagal menghasilkan gol.

Jurulatih negara, Paul Lissek berkata, kini tumpuannya ialah perlawanan bagi mendapatkan pingat gangsa dan beliau yakin pemainnya mampu melakukan sesuatu apabila menentang Pakistan nanti.

Lissek berkata, barisan muda yang diketengahkan pada temasya Sukan Asia kali ini telah menunjukkan peningkatan, malahan mampu memberikan saingan terbaik semalam, walaupun terpaksa menerima beberapa keputusan kontroversi dari pengadil perlawanan.

``Kita yakin mereka dapat menyumbangkan pingat gangsa dalam pertemuan ini. Saya tetap yakin dengan barisan muda yang mewakili negara,'' katanya.

Perlawanan itu turut disaksikan oleh Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF), Sultan Azlan Shah dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Hishammuddin Hussein, serta lebih 100 penyokong Malaysia yang dibawa oleh Samsung ke sini.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir semalam, India menewaskan Pakistan, 4-3 untuk mara ke perlawanan akhir menentang Korea Selatan, esok. - Utusan

MALAYSIA:

Roslan Jamaluddin, Chairil Anwar A. Aziz, Shaiful Azli Abd. Rahman, Chua Boon Huat, , K. Keevan Raj, K. Gobinathan, Azlan Misron, Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Nor, Muhamad Amin Rahim, Mohd. Fairuz Ramli, S. Kuhan.

KOREA SELATAN:

Hwang Jong-Hyun, Jeon Jong-Ha, Kang Keon-Wook, Kim Yong-Bae, Kim Yoon, Kim Chul, Kim Kyung-Seok, Kim Jung-Chul, Shin Seok-Kyo, Song Seung-Tae, Yeo Woon-Kon.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cNZN37UO© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan