Rabu, 29 Mac 2017

Malaysia yakin boleh menang

ARKIB : 24/03/2003
MALAYSIAberpeluang untuk memperoleh kemenangan pertama dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah yang sedang berlangsung di Ipoh apabila bertemu New Zealand hari ini.

Kedua-dua pasukan tewas dalam perlawanan sulung masing-masing. Malaysia kalah 2-0 kepada Korea Selatan manakala skuad Kiwi pula kepada Pakistan 6-1.

Jurulatih skuad negara, Paul Lissek mungkin tidak akan mengubah senarai pemain dalam perlawanan pertama kelmarin, di mana penjaga gol muda, S. Kumar beraksi cemerlang ketika prestasi seniornya, Roslan Jamaluddin disangsikan.

Kumar jelas begitu tangkas menghalang beberapa percubaan bahaya Korea. Dia juga telah membuktikan ketenangannya apabila menampan pukulan penalti strok Sohail Abbas ketika perlawanan ujian di KUALA LUMPUR menjelang kejohanan edisi ke-12 ini.

Beberapa pemain muda seperti Wan Muhd. Asyrizal Wan Mustapha, P. Prabahkaran dan Mohd. Riduan Mohd. Nasir juga dijangka terus diberi tempat setelah menunjukkan aksi memberangsangkan.

Namun, kelibat penyerang veteran, Chairil Anwar Abdul Aziz mungkin akan disaksikan hari ini setelah direhatkan kelmarin jika Lissek merasakan pengalaman pemain itu amat berharga untuk memastikan kemenangan pertama.

Lissek berkata, perlawanan Malaysia dengan New Zealand sebelum ini sentiasa sengit, lantas beliau tidak mahu anak buahnya berasa terlalu yakin.

Katanya, jika skuadnya menunjukkan permainan bermutu dan semangat tinggi seperti ketika menentang Korea, kemenangan akan berpihak kepada mereka.

``Tetapi saya mahu pemain-pemain melupakan kekalahan kepada Korea. Ya, kita tidak sepatutnya kalah setelah bermain dengan baik pada perlawanan itu tetapi perkara itu sudah berlalu.

``Sekarang kita mesti menumpukan perhatian kepada pertemuan dengan New Zealand. Kita mesti memenangi perlawanan itu untuk menaikkan semula semangat kita,'' kata jurulatih dari Jerman itu semalam.

Jurulatih skuad Kiwi, Kevin Towns juga yakin perlawanan hari ini bakal berlangsung hebat.

``Teingat saya, pertemuan antara kedua-dua pasukan sentiasa seimbang. Jumlah jaringan gol juga tidak jauh sama ada apabila MALAYSIA atau New Zealand yang menang,'' katanya.

``Malaysia bermain dengan lebih sabar sekarang. Mereka tidak terus meluru melakukan serangan dan ini boleh membahayakan kami,'' kata Towns mengulas mengenai corak yang diamalkan oleh skuad negara.

``Mereka mempunyai penyerang yang bagus dan pemain pertahanan yang tenang.'' ``Bagaimanapun, kami mempunyai beberapa pemain yang bagus dan kami akan bermain dengan corak kami,'' tambah beliau.

New Zealand telah lima kali menyertai kejohanan jemputan ini. Keputusan terbaik yang mereka catatkan ialah pada penampilan kali ketiga pada 1995 apabila menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang India dan Jerman.

Sementara itu, juara Sukan Asia dan naib juara Olimpik, Korea pula akan bertemu juara dunia, Jerman dalam perlawanan kedua hari ini.

Kedua-dua pasukan akan beraksi dengan semangat tinggi hasil kemenangan pertama yang mereka catatkan.

Jerman, yang menumpaskan Pakistan 4-3 semalam, sudah pasti mahu mengekalkan kejuaraan yang mereka rangkul pada 2001.

Korea pula ingin mengulangi kejayaan pada 1996 di samping membalas dendam kekalahan mereka kepada gergasi Eropah dalam perlawanan akhir edisi ke-11 dua tahun lepas.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cjOG7dry

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan