Ahad, 19 Mac 2017

Matlamat tebus kesilapan bagi pasukan negara

ARKIB : 19/10/2001
Daripada SAADON JAAFAR
HOBART - Malaysia akan menentang New Zealand dengan misi balas dendam dalam perlawanan play-off bagi tempat kesembilan hingga 12 Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja yang berlangsung di Pusat Hoki Tasmania di sini, hari ini.

Selepas tewas 3-2 pada pertemuan pertama dalam perlawanan penuh kontroversi akibat keputusan pengadil yang berat sebelah serta aksi kurang meyakinkan, Malaysia kini berpeluang menebus kesilapan itu.

Jurulatih negara, Yahya Atan percaya para pemain negara sudah cukup memahami rentak permainan New Zealand dan beliau kini merangka aksi mantap segenap sudut untuk menjayakan misi kemenangan.

``Yang penting, para pemain sudah mengetahui apa kesilapan mereka dan berjanji tidak mengulanginya apabila menghadapi New Zealand sekali lagi.

``Kita akan mempamerkan aksi lebih mantap berbanding sebelumnya dan saya berpuas hati dengan mutu pengadilan dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini. Misi kita adalah untuk menang,'' katanya.

Menurutnya, tiada cara lain untuk menundukkan lawan kecuali menajamkan serangan serta memperkemaskan pertahanan.

``Kita kalah kepada New Zealand dalam pertemuan pertama mungkin disebabkan rasa gemuruh pemain khususnya yang belum berpegalaman pada kejohanan bertaraf tinggi.

``Selepas mengharungi beberapa perlawanan, saya percaya mereka semakin matang,'' katanya.

Berdasarkan rekod, Malaysia menamatkan cabaran pusingan pertama dengan dua kekalahan dan satu seri - kalah 3-2 kepada New Zealand, kalah teruk 5-0 kepada Argentina dan kemudian mengikat pasukan pilihan, Jerman 2-2.

Pada pusingan kedua, Malaysia kembali mencuri tumpuan dengan mengekang Scotland 1-1, Afrika Selatan juga dengan 1-1, sebelum bangkit mencipta kemenangan ke atas Chile 3-1 untuk mara ke play-off tempat kesembilan hingga 12.

New Zealand pula mencatat dua kemenangan dan satu seri pada pusingan pertama, sebelum mara ke saingan play-off selepas menghasilkan dua kemenangan dan satu kalah. - Utusan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4blsjEzvh

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan