Selasa, 21 Mac 2017

Mirnawan dapat tajaan



ARKIB : 20/02/2002
KETUA pasukan hoki negara, Mirnawan Nawawi mendapat sokongan moral semalam menjelang Kejohanan Hoki Piala Dunia ke-10 bermula Ahad ini apabila mendapat tajaan daripada minuman isotonik 100PLUS.

Majlis rasmi perjanjian penajaan itu telah dimeterai pada satu majlis di Shah Alam, semalam yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Sieh Kok Chi dan Pengurus Besar F&N Coca Cola (M) Bhd, Farrukh Abbas, syarikat pengeluar 100PLUS.

Penajaan itu adalah satu peristiwa bersejarah bagi 100PLUS sendiri kerana ini ada kali pertama ia menaja atlet.

Dan, pemilihan Mirnawan bukan sahaja kena pada masanya tetapi dia dipilih kerana peribadinya sendiri yang boleh dijadikan contoh kepada golongan remaja negara.

Mirnawan, 30, adalah pemain yang dihormati diseluruh dunia dan kredibilitinya selaku pemain paling banyak mewakili hoki negara.

Secara kebetulan, Mirnawan telah mengakhiri kemarau menjaringkan gol selama enam bulan setelah mengikat kontrak dengan 100PLUS pada Kejohanan Enam Negara baru-baru ini.

``Bagi saya, penajaan ini memberikan saya galakan dan sokongan untuk bekerja lebih kuat,'' kata Mirnawan.

Sempena penajaan itu, 100PLUS bersama radio RED FM telah menganjurkan pertandingan di mana peminat boleh memenangi kayu hoki yang ditandatangan khas oleh Mirnawan dan pemain-pemain hoki bertaraf dunia lain.

Untuk berpeluang memenangi kayu-kayu hoki istimewa itu, peminat boleh mendengar RED FM di 104.9 dan menantikan butir-butir lanjut pertandingan, mulai 25 Februari, 2002.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4bwfO3Dn5© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan