Ahad, 19 Mac 2017

Nasihin kembali


 

ARKIB : 23/11/2001
SKUAD negara terus gigih menjalani latihan dalam bulan puasa untuk persediaan menghadapi Kejohanan Cabaran Juara-Juara yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, bulan depan.

SELAMA tiga bulan Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim tidak menjejak kaki di padang hoki yang berpunca daripada kecederaan pada lutut kanannya menjelang Sukan SEA September lepas.

Kali terakhir penjaga gol kebangsaan itu beraksi ialah ketika mewakili negara pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah Ogos lepas.

Harapannya untuk segera beraksi bagaimanapun hampa sekali pun kecederaannya telah pulih apabila Kejohanan Afro-Asia di New Delhi yang dijadualkan berlangsung selepas Sukan SEA dibatalkan.

Kini dia kembali bersama skuad negara dengan satu tujuan - merebut semula kedudukannya sebagai penjaga gol nombor satu negara.

Namun, dia terlebih dulu perlu meningkatkan kecergasan dan mendapatkan semula ketangkasan yang pernah ditunjukkannya sebelum ini.

``Ketika ini saya buat dua-dua sekali...latihan kecergasan dan latihan permainan,'' katanya.

Nasihin kini sedang menjalani latihan bersama skuad negara untuk menghadapi Kejohanan Cabaran Juara-Juara di Bukit Jalil bulan depan.

``Saya mahu merebut semula kedudukan (penjaga gol) nombor satu.

``Saingan memang sengit tetapi ia baik untuk pasukan negara,'' katanya.

Nasihin juga menjelaskan bahawa dia amat terkilan kerana tidak dapat beraksi dalam Sukan SEA XXI.

``Saya mengidamkan pingat emas Sukan SEA tetapi masih belum mendapatnya. Peluang terbaik saya terlepas apabila cedera beberapa hari sebelum temasya itu berlangsung,'' jelasnya.

Untuk itu, Nasihin berazam bagi memastikan Malaysia mencatat keputusan baik pada Kejohanan Cabaran Juara-Juara yang menjadi penentu untuk layak ke Kejohanan Trofi Juara-Juara.

Selain itu, Nasihin juga ingin menggunakan kejohanan itu sebagai medan terbaik menguji kehebatan sendiri sebelum Piala Dunia berlangsung tahun depan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bpTPXMNI

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan