Selasa, 14 Mac 2017

Negara perlu tenaga Mirnawan



 
ARKIB : 27/01/2001
Negara perlu tenaga Mirnawan
 Mirnawan (kiri) pernah mengetuai cabaran negara pada Sukan Olimpik di Sydney, September tahun lalu. Dia kini dikatakan mahu berehat daripada cabaran negara.

KEDUDUKAN Mirnawan Nawawi dalam skuad kebangsaan terus menjadi tanda tanya apabila Persekutuan Hoki Malaysia (MHF) mengesahkan bekas ketua pasukan kebangsaan itu tidak pernah mengemukakan sebarang surat rasmi penarikan dirinya daripada skuad negara.

Setiausaha Kehormat MHF, S. Satgunam berkata, status Mirnawan sebagai pemain negara masih tergantung dan persekutuan itu sedia berbincang untuk mendapatkan kepastian.

"Dia seolah-olah mahu hilang begitu sahaja. Tiada siapa tahu mengenai kedudukannya sebagai ketua pasukan mahupun pemain kebangsaan. Dia juga tidak pernah menghantar surat rasmi kepada MHF mengenainya.

"Kami menganggap apa yang diluahkan menerusi akhbar bukan hal rasmi. Kami sedia berbincang dengannya tentang masa depannya dalam skuad negara, jika dia mahu,'' kata Satgunam.

Beliau berkata, sikap berdiam diri Mirnawan itu juga boleh menjejaskan persiapan skuad negara menjelang Piala Dunia 2002.

"Dia mungkin telah menyuarakan keinginan untuk berehat kepada jurulatih negara, tetapi tidak berbincang langsung dengan kami.

"Kejohanan itu pula tinggal lebih kurang setahun lagi. Kami perlu mendapat kepastian daripadanya. Kami mahukan pemain yang penuh komitmen untuk menggalas cabaran negara,'' ujar beliau.

Begitupun, MHF katanya, berharap pemain tersebut dapat mengubah niat awalnya itu dan meneruskan cabaran demi negara.

"Kami masih mengharapkan khidmatnya kerana sasaran kita ialah menduduki sekurang-kurangnya tempat kelapan pada Piala Dunia nanti kerana kita menjadi tuan rumah kejohanan.

"Malah dia juga mungkin menjadi pemain Malaysia pertama beraksi buat kali keempat di Sukan Olimpik, jika masih bersama skuad ini sehingga temasya Athens 2004,'' ujarnya.

Mirnawan memulakan aksi Olimpik di Barcelona pada 1992, diikuti Atlanta 1994 dan Sydney, September tahun lalu dan dia berpeluang mencipta rekod penyertaan Olimpik, jika beraksi di Athens 2004.

Sementara itu, mengenai persiapan bagi menghadapi Sukan SEA XXI di Kuala Lumpur, September ini, Satgunam yakin pingat emas dalam genggaman kedua-dua skuad lelaki dan wanita.

"Saya bukan mahu cakap sombong, tetapi negara Asia Tenggara memang tahu tahap permainan kita. MHF juga tidak mempunyai perancangan tersendiri untuk Sukan SEA nanti, cuma latihan biasa.

"Ini kerana kami cukup yakin Malaysia tiada masalah untuk mengekalkan penguasaan pingat emas acara lelaki dan wanita,'' tambahnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4bMuxT6lS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan