Ahad, 19 Mac 2017

`Pengadil tak adil'

ARKIB : 11/10/2001
Daripada SAADON JAAFAR
HOBART - Malaysia gagal dalam usaha mengutip tiga mata penuh selepas mengalami kekalahan kontroversi 3-2 kepada New Zealand dalam perlawanan yang disulami aksi pergaduhan pemain kedua-dua pasukan dalam saingan kumpulan D Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di Pusat Hoki Tasminia di sini semalam.

Tindakan berat sebelah pengadil dari Belanda, Rob Ten Cate memulakan bahang pergaduhan selepas membatalkan gol ketiga Malaysia hasil rembatan ketua pasukan, Chua Boon Huat pada minit ke-63 dengan alasan bola telah terkena kaki Chua sekali pun tiada sebarang bantahan daripada pemain lawan tentang jaringan itu.

Keadaan itu memberi tekanan kepada pemain negara yang tidak patah semangat memburu gol ketiga dengan masa tinggal kira-kira tujuh minit untuk ditamatkan, tetapi kekasaran pertahanan lawan, Hayden Shaw yang memukul muka M. Jivan dengan kayu hoki seminit selepas itu mencetus pergaduhan.

Abangnya, M. Jiwa pantas menerkam Hayden dan para pemain lain kedua-dua pasukan mula berbalah sehingga memaksa jurulatih negara, Yahya Atan masuk ke padang selepas kedua-dua pengadil, termasuk seorang lagi, David Wallis dari Scotland gagal meredakan keadaan dan sekadar berdiam diri menyaksikannya.

Akibatnya, Malaysia terpaksa beraksi dengan sembilan pemain hingga tamat perlawanan apabila Jiwa dilayangkan kad kuning oleh Ten Cate yang turut bertindak memberikan kad kuning kepada Chua kerana membantah keputusannya.

Terdahulu, perlawanan semalam yang bermula dengan baik, menyaksikan barisan negara bangkit mendahului 2-1 selepas ketinggalan satu gol jaringan Philip Burrows seawal minit ke-11. Kedua-dua gol negara itu disumbat masuk oleh M. Jiwa pada minit ke-16 dan 17.

Begitupun, gandingan penyerang New Zealand, Burrows dan Blair Hopping menyamakan kedudukan 2-2 apabila hantaran Burrows disempurnakan oleh rakannya itu untuk menewaskan penjaga gol negara, Shaiful Azhar Mohd. Afandi pada minit ke-52.

Menyedari ketinggalan satu gol, anak buah Yahya Atan memperkemaskan jentera serangan dan melakukan asakan bertubi-tubi untuk menembusi gawang lawan dan usaha itu tampak membuahkan hasil apabila Chua menguis masuk bola pada minit ke-63.

Namun malang melanda skuad negara yang sedang meraikan gol ketiga untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata daripada perlawanan tersebut apabila jaringan Chua tiba-tiba dibatalkan oleh Ten Cate yang sekali gus menambahkan lagi tekanan.

``Bagi saya pengadil memang tidak adil dalam perlawanan ini kerana membiarkan pemain lawan mengasak keras pemain kita, tetapi dalam banyak keadaan, mereka menghukum pemain kita jika keadaan sebaliknya berlaku,'' kata jurulatih negara Yahya Atan.

Malaysia berhadapan masalah pada pertemuan dengan Argentina hari ini apabila Chua digantung satu perlawanan oleh pengarah kejohanan, Peter Lathouwers manakala pengurus pasukan, Ariffin Mohd. Ghani pula diberi amaran keras kerana dikatakan enggan menandatangani penyata keputusan perlawanan.

Kemenangan New Zealand itu menyaksikan mereka meraih kedudukan tangga teratas kumpulan D selepas pasukan pilihan Jerman sekadar mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Argentina.

Kedua-dua gol Jerman dijaringkan oleh Matthias Witthaus pada minit ke-23 dan 34 manakala gol Argentina menerusi Juan E Garreta, minit ke-50. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4blOCDndm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan