Ahad, 19 Mac 2017

Perlawanan perpisahan raikan Nor Saiful


 

ARKIB : 03/12/2001
Perlawanan perpisahan raikan Nor Saiful
NOR SAIFUL ZAINI mengumpul 328 cap selepas Sukan Olimpik di Sydney tahun lalu.

DENGAN 328 cap antarabangsa dalam koleksinya, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, 35, muncul pemain paling banyak beraksi untuk pasukan kebangsaan dalam sejarah hoki negara.

``Nor Saiful telah bermain sebanyak 328 kali untuk negara. Rekod ini tidak pernah dicapai oleh mana-mana pemain hoki negara,'' Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) Datuk Seri P. Alagendra melahirkan kekagumannya kepada pemain dari Perak itu.

``Saya juga tidak tahu jika ada pemain lain di dunia ini yang mengatasi jumlah cap yang dikumpul oleh Nor Saiful,'' tambah Alagendra melahirkan penghormatannya kepada bekas ketua pasukan itu.

Sebagai mengenang jasa Nor Saiful kepada negara, PHM membuat keputusan untuk mengadakan perlawanan perpisahan untuknya yang bersara selepas Sukan Olimpik Sydney tahun lalu.

``Perlawanan ujian dengan Afrika Selatan Selasa ini (esok) akan dijadikan sebagai perlawanan perpisahan untuk Nor Saiful sebagai mengenang pemain terhebat dalam sukan hoki negara,'' jelas beliau di Kuala Lumpur.

Ini adalah satu sejarah bagi Nor Saiful dan PHM sendiri kerana buat kali pertama satu perlawanan perpisahan diadakan untuk seorang pemain hoki yang bersara.

Perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada pukul 8 malam esok.

Nor Saiful akan bermain selama lima minit dalam perlawanan itu.

Nor Saiful boleh bermain di pelbagai posisi. Dia pernah menjadi penyerang bersama-sama Mirnawan Nawawi, menjadi pemain tengah dan menjelang tempoh persaraannya beraksi sebagai pemain pertahanan.

Beberapa tahun sebelum menamatkan aksi, Nor Saiful juga mula dipertanggungjawabkan sebagai pakar pukulan sudut penalti bersama-sama S. Kuhan dan Chua Boon Huat.

Afrika Selatan menggunakan perlawanan itu sebagai persediaan menjelang Kejohanan Cabaran Juara-Juara yang akan bermula pada Jumaat ini di Bukit Jalil.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bpcEQ7Kk

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan