Ahad, 19 Mac 2017

Pertemuan persahabatan menjelang Kejohanan Hoki Enam Negara - Babak awal menghampakan


 

ARKIB : 16/01/2002
PENYERANG negara, Tajol Rosli Mohamed (kiri) cuba mengejar bola sewaktu perlawanan persahabatan menentang Pakistan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. Pakistan menang 2-1. - Gambar GUIE UCHEL.

AKSI hambar pada babak pertama permainan membawa padah buat Malaysia yang tumpas 2-1 kepada Pakistan dalam perlawanan persahabatan menjelang Kejohanan Hoki Enam Negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Sebaliknya, barisan serangan Pakistan tampak lebih agresif dengan percubaan bahaya seawal minit kelima, tetapi rembatan ketua pasukan, Sarwar berjaya diselamatkan oleh penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin.

Namun usaha mereka berhasil apabila Shahbaz Ahmad menyumbat masuk gol pertamanya dalam penampilan sulungnya sejak mengumumkan persaraan tiga tahun lalu, pada minit ke-12.

Gol itu berpunca daripada kesilapan hantaran bola oleh ketua pasukan negara, Mirnawan Nawawi yang mudah dirampas oleh Kashif Jawad sebelum menyerahkan tugas kepada rakan sepasukannya untuk menyempurnakan gol pertama itu.

Pakistan yang terus mengasak, memperoleh gol keduanya menerusi pakar pukulan sudutnya, Sohail Abbas yang menyempurnakan pukulan itu pada minit ke-35.

Skuad negara berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-43, tetapi rembatan bola pukulan sudut penalti oleh Chua Boon Huat sekadar melewati palang gol lawan.

Pada babak kedua, barisan negara cuba bangkit dengan aksi lebih mantap dan hanya mampu mendekatkan jurang apabila Maninderjit Singh merembat masuk bola pukulan sudut penalti pada minit ke-50.

Ketua jurulatih negara, Paul Lissek berang dengan aksi kurang bertenaga, khususnya kelemahan barisan pertahanan yang membuka ruang serangan kepada lawan.

``Kita menghadapi masalah besar... gol pertama nyata akibat kesilapan Mirnawan ketika cuba menghantar bola kepada S. Shanker.

``Jentera pertahanan kita juga mendatangkan masalah dan terlalu banyak kesilapan berlaku. Ketika lawan mengambil pukulan sudut penalti, pertahanan kita membuka ruang seluas-luasnya untuk mereka.

``Jadi inilah keputusan yang sewajarnya buat kita. Kita tidak akan berpeluang untuk menang ke atas pasukan gagah nanti, jika kesebelasan utama tidak memberi aksi terbaik,'' kata Lissek.

Perlawanan semalam juga tidak disertai oleh seorang lain tonggak utama negara, Chairil Anwar Abdul Aziz yang direhatkan kerana mengalami sakit perut.

Mengenai nasib S. Kuhan yang dibelenggu kecederaan hamstring untuk beraksi pada Kejohanan Enam Negara itu, Lissek berkata, pemain itu akan direhatkan sepenuhnya.

``Kuhan tidak akan beraksi pada kejohanan ini. Saya mahu dia berehat dan kembali cergas bagi mengharungi saingan Piala Dunia nanti,'' ujarnya ringkas.

Skuad negara akan mengharungi perlawanan persahabatan kedua menentang Pakistan di Stadium Hoki Nasional pada pukul 8.00 malam ini.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bqTLKrsT

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan