Sabtu, 11 Mac 2017

Posisi sebagai pemukul sudut penalti sudah ada pengganti -- Misi terakhir Nor Saiful

ARKIB : 14/09/2000
SYDNEY - Nor Saiful Zaini yang membatalkan hasratnya untuk bersara dua tahun lepas bagi mengisi kekosongan posisi sebagai pemukul pukulan sudut penalti dalam pasukan negara kini yakin beliau telah menemui penggantinya.

Bagaimanapun, S. Kuhan, 24, dan K. Gobinathan, 22, perlu berusaha lebih keras sebelum membolehkannya berundur dari pasukan negara, katanya di Sydney, semalam.

Namun begitu, Nor Saiful telah berkata bahawa Sukan Olimpik Sydney, yang bermula Jumaat ini, merupakan penyertaannya yang terakhir selepas beraksi pada Sukan Olimpik 1992 di Barcelona dan 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat.

Nor Saiful, yang menyarung jersi negara buat kali pertama pada Sukan Asia 1986 di Seoul, Korea Selatan mengumumkan persaraannya pada 1998, tetapi mengubah pendirian dan kembali membantu Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Sydney.

''Khidmat saya masih diperlukan untuk pusingan kelayakan Sukan Olimpik di Osaka pada Mac lepas. Kini saya yakin terdapat pemain yang mampu mengambil alih tempat saya,'' katanya selepas perlawanan persahabatan menentang Argentina.

Nor Saiful berkata, beliau akan bersara selepas kedua-dua pemain itu mempamerkan kematangan beraksi pada posisi itu.

Beliau berkata, pengalamannya beraksi pada dua Sukan Olimpik sebelum ini, telah memberikannya keyakinan untuk membimbing pasukan negara pada Sukan Olimpik Sydney.

''Kita cukup bersedia sekarang berbanding pada dua Sukan Olimpik yang lalu,'' kata Nor Saiful lagi.

Malaysia memulakan cabaran pada Sukan Olimpik dengan menentang Jerman pada Sabtu ini.

Malaysia disenaraikan dalam kumpulan A bersama-sama dengan Kanada, Britain, Jerman, juara bertahan Belanda dan Pakistan.

Manakala kumpulan B pula terdiri daripada Australia, Sepanyol, India, Korea Selatan, Poland dan Argentina. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b15rk4E3 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan