Ahad, 19 Mac 2017

Rekod tercalar


 

ARKIB : 13/12/2001
PEMAIN negara, Chairil Anwar Abdul Aziz (kanan) dihadang oleh penjaga gol Argentina, Pablo Moreira ketika Rodhanizam Mat Radzi (no 11) terjatuh dalam saingan Hoki Cabaran Juara-Juara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia tewas 2-1. - Gambar ASWAD YAHYA.

Oleh SAADON JAAFAR
DUA gol jaringan Jorge Lombi membantu Argentina merampas kedudukan teratas selepas mencalarkan rekod bersih Malaysia dengan kemenangan 2-1 pada Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Malaysia bermula garang dengan percubaan bahaya menerusi Chairil Anwar Abdul Aziz yang menerima hantaran Chua Boon Huat, tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Argentina, Pablo Moreira seawal minit keenam permainan.

Begitupun, usaha Malaysia membuahkan hasil apabila mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi K. Logan Raj yang merembat masuk hantaran jauh K. Gobinathan pada minit ke-18.

Skuad negara berpeluang untuk menambah jaringan pada minit ke-32 apabila pengadil menghadiahkan pukulan penalti strok, namun S. Kuhan gagal menyempurnakan tugas selepas ditampan tepat oleh Moreira.

Sebaliknya, Argentina bangkit dengan asakan bertali arus pada babak kedua yang menyaksikan Lombi menyempurnakan hantaran Santiago Capurro pada minit ke-46 untuk menyamakan kedudukan.

Serangan balas yang dilakukan barisan negara berjaya dipatahkan oleh jentera pertahanan Argentina yang menyaksikan percubaan solo Tajol Rosli Mohamed digagalkan oleh Moreira.

Argentina bagaimanapun bijak mengambil kesempatan akibat suasana kucar kacir di depan gawang Malaysia untuk jaringan kemenangan oleh Lombi yang menewaskan penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin hanya seminit sebelum tamat permainan.

Lombi tidak teragak agak untuk menggunakan kepakarannya menyempurnakan hantaran kemas Tomas Mac Cormic, sekali gus meletakkan Argentina selaku pendahulu saingan ketika ini.

Sementara itu, Depak Thakur muncul wira dengan menyumbat masuk dua gol untuk memastikan kemenangan 3-0 India ke atas Jepun.

Deepak memulakan tirai jaringan apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit terakhir babak pertama, sebelum melengkapkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-64.

Satu gol lagi dijaringkan oleh Prabhjot Singh yang merembat masuk hantaran silang Dhanaraj Pillay pada minit ke-41, sekali gus menewaskan penjaga gol lawan, Jun Takahashi.

Kedua-dua pasukan menggunakan taktik serangan balas pantas, tetapi barisan serangan India lebih banyak menguji kekentalan pertahanan Jepun, termasuk percubaan bahaya oleh Deepak pada minit ke-29 yang pantas diselamatkan Takahashi.

Jentera serangan India yang diketuai Dhanaraj juga mempunyai beberapa peluang untuk menambah jaringan sepanjang perlawanan berlangsung. Ini termasuk percubaan Arjun Halappa yang digagalkan oleh Takahashi, minit ke-36.

Kemenangan itu memastikan India mengumpul tujuh mata daripada empat perlawanan dengan dua kemenangan, manakala Jepun setakat ini hanya mampu meraih satu kejayaan.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bpy2YS3p

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan