Ahad, 19 Mac 2017

Satu lagi aksi mengaibkan

ARKIB : 20/10/2001
Daripada SAADON JAAFAR
HOBART - New Zealand meranapkan impian Malaysia untuk memperbaiki kedudukan dalam 10 tangga teratas keseluruhan selepas meraikan kemenangan 3-2 pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di Pusat Hoki Tasmania sini, semalam.

Skuad negara yang memberi aksi hambar pada awal permainan sepertimana ketika tumpas dengan jumlah jaringan sama kepada lawan pada pusingan pertama lalu, kini terpaksa berdepan Afrika Selatan untuk penentuan tempat ke-11 dan 12.

Kekalahan itu juga satu tamparan hebat kepada skuad `jutawan' Malaysia yang melabur RM1 juga bagi persiapan menjelang kejohanan ini dan barisan muda negara hanya mampu bangkit selepas ketinggalan tiga gol.

Dua jaringan pukulan sudut penalti oleh Hayden Shaw pada minit ke-48 dan 53 selepas gol pembuka tirai menerusi Mark Lawrence di minit ke-25, membuktikan bahawa ramalan awal sebelum perlawanan oleh ketua jurulatih negara, Paul Lissek cukup tepat.

``Saya percaya kita akan kalah pada perlawanan nanti dan hanya mampu bersaing untuk merebut tempat ke-11 mahupun 12 menentang Afrika Selatan,'' kata Lissek sebelum skuad negara turun ke gelanggang.

Malaysia bagaimanapun bangkit dengan corak permainan lebih baik pada 20 minit akhir babak kedua untuk mendekatkan jurang selepas pemain tengah, M. Jiwa mencipta peluang terbaik hasil hantaran tepat di dalam kawasan D lawan.

Ketua pasukan, Chua Boon Huat menyempurnakan hantaran Jiwa pada minit ke-57 untuk menewaskan penjaga gol New Zealand, Kyle Pontifex, diikuti rembatan tepat Mohd. Fairuz Ramli pada minit ke-67 untuk gol kedua negara.

Jurulatih negara, Yahya Atan yang kecewa dengan aksi hambar anak buahnya, menyifatkan kekalahan itu berpunca daripada kegagalan pemain untuk menyempurnakan tujuh pukulan sudut penalti, selain strategi yang tidak menjadi.

``Kita gagal menghasilkan gol daripada tujuh pukulan sudut penalti, malah para pemain juga tidak berupaya menyekat asakan pukulan sudut penalti lawan. Selepas ketinggalan tiga gol, kita hanya bangkit dalam minit-minit terakhir permainan namun ia sudah terlambat.

``Strategi untuk tenang menghadapi asakan lawan selain cuba mengatur serangan balas juga tidak menjadi kerana para pemain kita lambat bertindak,'' kata Yahya penuh kecewa.

Sementara itu, Gerome Branquart muncul wira Perancis apabila menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan untuk menewaskan Afrika Selatan 2-1, sekali gus mencerahkan peluang buat pasukan itu untuk memburu tempat kesembilan.

Perancis bermula cemerlang dengan mendahului permainan menerusi gol pembuka tirai oleh Mattieu Durchon pada minit ke-15, sebelum Eric Innes Rose menyamakan kedudukan, enam minit selepas itu.

Jaringan Branquart pada minit ke-74 memastikan Perancis menjadin pemenang selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa penuh. - Utusan
SMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bluLIHA1

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan