Selasa, 21 Mac 2017

Setelah mencapai misi lapan pasukan teratas - Malaysia buru tempat terbaik



ARKIB : 07/03/2002
MALAYSIA kini berpeluang menempah kedudukan terbaik apabila berdepan Pakistan dalam perebutan tempat kelima hingga lapan pada Kejohanan Hoki Piala Dunia 2002 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Sekali pun terlepas peluang untuk melayakkan diri ke separuh akhir, skuad negara sebenarnya sudah mencapai misi untuk menempah lapan kedudukan teratas pada edisi ke-10 ini.

Namun menghadapi Pakistan bukan laluan mudah buat anak buah Paul Lissek yang pastinya terpaksa bekerja keras dalam memburu kemenangan hari ini.

Pakistan sudah membuktikan keupayaan mereka ketika berdepan juara Eropah, Jerman apabila bangkit selepas ketinggalan dua gol sebelum tumpas 3-2 hasil jaringan ketua pasukan lawan, Florian Kunz.

Pasukan gergasi Asia itu yang gagal ke separuh akhir pastinya terpaksa menukar misi untuk memastikan sekurang-kurangnya tempat kelima keseluruhan.

Bermula dengan bergaya dengan tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan kumpulan A, Pakistan mempamerkan kehebatan membelasah Afrika Selatan 5-0, mengetepikan Belgium 3-2 dan New Zealand 2-0.

Namun mereka tewas mengejut kepada Argentina 2-1, Belanda 2-1, tetapi bangkit semula memadamkan impian Sepanyol 3-0, sebelum akur kepada kemampuan Jerman dengan 3-2.

Skuad negara sebaliknya memulakan aksi buruk dalam saingan pertama kumpulan B dengan kekalahan 3-0 kepada Australia, sebelum bangkit meraikan kemenangan tipis 1-0 ke atas Jepun.

Skuad negara berupaya mengejutkan India 3-2 dan kemudian tumpas kepada Korea Selatan 3-2, sebelum menguasai saingan ke atas England 2-1 dan Cuba 4-2, tetapi sekadar terikat 2-2 dengan Poland.

Pakistan sudah melakar sejarah dengan menjuarai Piala Dunia empat kali sejak meraih gelaran pertama ketika kejohanan berprestij itu diperkenalkan di Barcelona pada 1971.

Mereka kemudian mengungguli cabaran di Buenos Aires 1978, Bombay 1982 dan Sydney 1994, selain memiliki kedudukan terbaik di tempat keempat pada Sukan Olimpik Sydney, dua tahun lalu.

Malaysia yang beraksi pada Piala Dunia buat kali kelima pula meraih kedudukan terbaik di tempat keempat ketika menjadi tuan rumah buat kali pertama di Kuala Lumpur pada 1975.

Namun kemerosotan melanda skuad negara yang turun ke tangga ke-10 di Buenos Aires 1978, Bombay 1982 dan tempat ke-11 di Utrecht pada 1998, sebelum menamatkan saingan juga di tempat ke-11 pada Sukan Olimpik Sydney 2000.

Begitupun, persembahan yang ditunjukkan oleh anak buah Lissek sejak bermula edisi ke-10 Ahad lalu masih boleh dibanggakan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bxZLkIAD© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan