Selasa, 21 Mac 2017

Skuad negara mampu tambah tiga mata lagi



ARKIB : 04/03/2002
MALAYSIA seharusnya mampu menambah tiga mata lagi untuk memperkukuhkan kedudukan dalam saingan kumpulan B apabila berdepan pasukan belasahan, Cuba pada Kejohanan Hoki Piala Dunia 2002 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini

Selepas mengumpul tiga kemenangan, termasuk kejayaan terbaru mengalahkan England, anak buah Paul Lissek mungkin sudah terbayang rentak kemenangan ke atas lawan Amerika Latin itu.

Berdasarkan rekod, Malaysia hanya meraih kemenangan tipis 3-2 kepada Cuba dalam saingan kelayakan Piala Dunia di Posnan, Poland pada 1993, namun aksi cemerlang skuad negara setakat ini pastinya menjanjikan sesuatu.

Cuba yang mendapat laluan automatik ke Kuala Lumpur berbekalkan status juara Pan Amerika bagaimanapun setakat ini gagal meraih sebarang mata daripada lima perlawanan dan sudah dibolosi lawan dengan 27 gol.

Skuad negara pula sudah melepaskan sembilan gol hasil lima pertemuan dan berjaya membolosi gawang lawan lapan kali untuk mengumpul sembilan mata.

Malaysia sudah dikalahkan dua kali oleh penghuni tangga teratas kumpulan, Australia 3-0 dan Korea Selatan 3-2, tetapi keupayaan anak buah Lissek mengetepikan cabaran Jepun 1-0, India 3-2 dan England 2-1 tidak boleh dipandang remeh.

Keputusan itu mencerahkan lagi peluang barisan negara untuk memperbaiki kedudukan ke-11 di Utrecht, Belanda empat tahun lalu.

Namun ruang ke separuh akhir agak tipis dan hanya bergantung kepada nasib Australia dan Korea Selatan pada penghujung saingan peringkat kumpulan.

Lissek ketika ditemui yakin rentak kemenangan skuad negara akan berterusan pada pertemuan dengan Cuba.

``Skuad negara sudah memberi aksi terbaik setakat ini dan ia menambah keyakinan saya. Misi kita seterusnya ialah menewaskan Cuba, sekali gus menjanjikan saingan lebih menarik pada Piala Dunia kali ini.

``Saya gembira dengan sikap pemain negara, khususnya pemain pertahanan, Nor Azlan Bakar yang sanggup beraksi menentang England sekali pun belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan.

``Sokongan penyokong Malaysia turut menyemarakkan lagi usaha pemain di padang. Saya yakin kita boleh menewaskan Cuba,'' katanya.

Ketika bertemu England kelmarin, barisan negara tampak lebih menumpukan perhatian terhadap permainan dan sudah mengetepikan rasa gementar seperti sewaktu menghadapi Korea Selatan, sambil tidak banyak melakukan kesilapan.

Elemen itulah antara faktor yang menjurus kepada kejayaan negara. Rentak permainan inilah yang mahu disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia apabila skuad negara turun dalam perlawanan berikutnya. Malaysia Boleh!

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bxQWhD8G© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan