Ahad, 19 Mac 2017

Skuad negara masih bernafas

ARKIB : 13/10/2001
Daripada SAADON JAAFAR
HOBART - Misi skuad negara belum berakhir sepenuhnya, sekali pun sudah terlepas peluang untuk berada dalam kelompok lapan pasukan menang pada pusingan kedua dan mereka kini perlu menang ke atas Jerman untuk mengelakkan kedudukan tercorot kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di Pusat Hoki Tasmania di sini hari ini.

Dua kekalahan berturut-turut - 3-2 kepada New Zealand yang dihiasi insiden pergaduhan antara pemain, serta tumbang 5-0 kepada Argentina dalam saingan sekumpulan, memaksa barisan negara mengubah sasaran dari dua tempat teratas kepada tempat ketiga kumpulan.

Selain itu, barisan negara juga akan terus berjuang merebut kedudukan terbaik kumpulan kalah pada saingan pusingan kedua bermula Ahad ini selepas kegagalan menempah dua tempat teratas kumpulan.

Skuad negara masih berpe-luang memperbaiki kedudukan untuk sekurang-kurangnya meraih tempat kesembilan daripada 16 pasukan yang bertarung dalam kejohanan ini selepas hanya menghuni tangga ke-11 pada saingan 1993 di Terrassa, Sepanyol.

Kekecewaan jelas terbayang pada jurulatih negara, Yahya Atan yang mahukan anak buahnya memberi aksi terbaik menentang Jerman.

Sementara itu, India mencatat kemenangan ketiga berturut-turut untuk muncul juara kumpulan C selepas menewaskan Sepanyol 3-0 yang menyaksikan kedua-dua pasukan mara ke pusingan kedua, semalam.

Pasukan gergasi Asia itu dan Sepanyol mengiringi England dan Australia selaku juara dan naib juara kumpulan A, serta Jerman dan Argentina atau New Zealand mewakili kumpulan D ke pusingan kedua saingan pasukan menang, manakala dua tempat teratas kumpulan B masih terbuka dan akan ditentukan hari ini.

India yang membelasah Kanada 5-0, diikuti Scotland 7-1 kelmarin, memulakan aksi penuh bertenaga dengan mengasak sebaik wisel pemula ditiup untuk mencemaskan kubu Sepanyol.

Scotland pula meraih tangga ketiga kumpulan sama hasil kemenangan pertama 3-1 ke atas Kanada selepas jaringan pembukaan oleh Jonathan Christie, minit ke-18.

Dalam saingan kumpulan A, Ireland memastikan Chile terus menghuni tangga tercorot menerusi kemenangan 4-1.

Juara bertahan, Australia sekadar seri 0-0 dengan England. - Utusan
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4blWz1Byg

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan