Ahad, 19 Mac 2017

Tiga pemain jadi pilihan

ARKIB : 23/10/2001
Daripada SAADON JAAFAR
HOBART - Penjaga gol, Mohd. Firdaus Razali, pemain pertahanan, Muhammad Amin Rahim dan penyerang, Tajol Rosli Mohamed dikenal pasti sebagai pemain Malaysia yang memberi aksi paling cemerlang pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja yang beraksi di sini kelmarin.

Jurulatih negara, Yahya Atan percaya, aksi cemerlang mereka yang turut disaksikan oleh ketua jurulatih negara, Paul Lissek bakal mencerahkan lagi peluang untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama negara pada Piala Dunia di Kuala Lumpur tahun depan.

``Firdaus, Amin dan Tajol adalah pemain yang memberi aksi paling mantap pada kejohanan ini berbanding pemain berpengalaman termasuk ketua pasukan, Chua Boon Huat, M. Jiwa, S. Shanker dan Logan Raj.

``Saya pasti ketiga-tiga mereka berpeluang cerah untuk diserapkan dalam skuad senior, jika mereka terus mempamerkan aksi terbaik dalam sesi latihan nanti,'' kata Yahya.

Menurut Yahya, Lissek sudah mengadakan perbincangan dengannya untuk menyerapkan 12 pemain remaja untuk menjalani latihan bersama skuad senior.

``Lissek ada bertemu saya untuk membincangkan sesi latihan skuad kebangsaan dan beliau mahu 12 pemain bimbingan saya menyertainya dalam usaha memantapkan lagi cabaran.

``Saya percaya pintu masih terbuka untuk barisan muda ini jika mampu memuaskan hati Lissek,'' tambah Yahya.

Selain tiga pemain itu, turut menambat perhatian Lissek ialah Chua, Jiwa, Logan, Shanker, Zaharin Zakaria, Azlan Misron, Redzuan Ponirin, Jivan Mohan dan Norazlan Rahim.

Mengenai kegagalan di Hobart, Yahya berkata, punca utamanya ialah ketahanan mental yang rendah di kalangan pemain selain cuaca terlalu sejuk dan sering berubah dari semasa ke semasa.

``Kita juga ada masalah dari segi kombinasi pemain ketika berdepan lawan. Pemain kita kurang daya ketahanan mental selain cuaca juga terlalu sejuk di sini.

``Kita sudah gagal di sini dan inilah masanya MHF (Persekutuan Hoki Malaysia) memulakan perancangan baru sebagai persediaan untuk empat tahun akan datang. Tidak perlu tunggu saat akhir,'' kata Yahya lagi. – Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bmBOid3w © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan