Sabtu, 15 April 2017

Malaysia cerahkan peluang

ARKIB : 09/03/2004
MALAYSIA mencerahkan peluang untuk sekurang-kurangnya bermain dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima/lapan untuk layak ke Athens selepas seri tanpa jaringan dengan pendahulu, Pakistan dalam saingan Kumpulan B kelayakan hoki Sukan Olimpik di Madrid, semalam.
Skuad negara kini mengumpul empat mata selepas empat perlawanan untuk menduduki tempat keempat di belakang Pakistan, India dan New Zealand.
Kedudukan tempat keempat itu dibantu oleh saingan terdekat Malaysia, Belgium yang turut mencatat seri dalam perlawanan terdahulu, seri 2-2 dengan Kanada untuk menduduki tempat kelima kumpulan.
Hanya pasukan tempat ketiga dan keempat dari setiap kumpulan layak bermain dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan dalam kelayakan ini.
Begitupun, Malaysia perlu menang dengan Belgium dalam perlawanan terakhir kumpulan yang berlangsung hari ini bagi mengekalkan kedudukan itu, atau mungkin layak ke separuh akhir.
Jika Malaysia berjaya ke separuh akhir, tempat ke Athens sudah terjamin secara automatik.
Bagaimanapun, New Zealand dan India dilihat lebih berpeluang untuk mengiringi Pakistan layak ke Athens secara automatik dari Kumpulan B jika melihat kedudukan mereka.
Dua pasukan itu berkongsi tujuh mata tetapi India memiliki kelebihan jaringan untuk di tangga kedua. Pakistan di tangga teratas dengan sepuluh mata selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut dan seri dengan Malaysia.
Dalam perlawanan semalam, Pakistan mendapat tiga pukulan sudut penalti yang gagal disempurnakan oleh bintang mereka, Sohail Abbas.
Begitupun penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin harus diberi pujian tinggi apabila berjaya menyelamatkan percubaan sudut penalti pertama Pakistan pada minit ke-15 dengan meluru keluar menampan bola pukulan Sohail.
Malaysia bagaimanapun hanya mendapat satu pukulan sudut penalti yang turut gagal dimanfaatkan oleh ketua pasukan negara, S. Kuhan.
Skuad negara bermain dengan corak bertahan dan kawalan ketat ke atas setiap pemain lawan yang menyebabkan Pakistan sukar bergerak walaupun pasukan lawan menguasai permainan.
Begitupun, Malaysia sesekali berjaya melancarkan serangan balas dan peluang terbaik diperoleh oleh Chua Boon Huat pada minit ke-15 yang menyaksikan bola rembatannya ditampan keluar oleh penjaga gol lawan.
Keputusan seri dengan Pakistan itu adalah yang kedua dalam tempoh dua bulan selepas seri 1-1 pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Kuala Lumpur, Februari lalu.
Malaysia tewas 1-0 kepada New Zealand pada perlawanan pertama, tewas 5-3 kepada India sebelum bangkit dengan kemenangan 3-2 ke atas Kanada.
Sementara itu, India memberi kekalahan pertama kepada New Zealand dengan kemenangan 2-0 dalam perlawanan terdahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan