Selasa, 11 April 2017

Malaysia dapat suntikan semangat



ARKIB : 09/02/2004

SKUAD hoki negara mendapat suntikan semangat menjelang kelayakan Sukan Olimpik di Madrid, Sepanyol bulan depan apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas Poland dalam aksi persahabatan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Ia adalah perlawanan pertama daripada empat aksi persahabatan yang diatur dengan Poland, selepas menentang Korea Selatan dalam tiga perlawanan sebelum ini.

Malaysia tewas dalam ketiga-tiga aksi dengan Korea Selatan itu.

Begitupun, gol kemenangan Malaysia diperoleh seminit sebelum wisel penamat dibunyikan, selepas skuad negara ketinggalan 1-0.

Poland, yang juga dalam persiapan untuk kelayakan temasya yang sama, mendahului pada minit ke-45 menerusi Zbigniew Juszczek hasil satu pukulan sudut penalti.

Muhd. Amin Rahim menyamakan kedudukan 10 minit kemudian hasil rembatan padu hasil pukulan sudut penalti.

Gol kemenangan Malaysia dijaringkan oleh Nishel Kumar yang melayangkan badan menghulur kayu hokinya untuk menampan masuk bola hantaran silang Chua Boon Huat pada minit ke-69.

``Walaupun menang, saya masih nampak beberapa kelemahan di posisi tertentu dalam skuad ini. Apa pun, ini adalah pasukan yang dibarisi oleh pemain baru.

``Saya yakin kita mampu mencipta lebih banyak peluang gol jika saya turunkan barisan utama,'' kata jurulatih negara, Paul Lissek selepas perlawanan itu.

Beberapa pemain tonggak tidak diturunkan semalam kerana cedera.

Dalam kelayakan di Madrid yang berlangsung 2-13 Mac ini, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama juara Piala Asia, India, Pakistan, Kanada, Belgium dan New Zealand.

Malaysia akan membuka kempen kelayakan itu menentang New Zealand pada 3 Mac.

Poland pula dalam Kumpulan A yang membariskan juara Olimpik 1998, Belanda, England, Sepanyol, Jepun dan Afrika Selatan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dvpLIa4c
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan