Sabtu, 8 April 2017

Malaysia pamer aksi meyakinkan



ARKIB : 09/01/2004
PENJAGA gol Malaysia, Roslan Jamaluddin (kanan) terpaksa merebahkan badan ketika cuba menghalang pemain Sepanyol, Eduardo Aguilar daripada menjaringkan gol pada perlawanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Bukit Jalil, semalam. Gambar ASWAD YAHYA.

KETUA pasukan, S. Kuhan menjaringkan tiga gol untuk membantu menyempurnakan kebangkitan penuh bersemangat Malaysia ketika mengikat Sepanyol 3-3 dalam perlawanan pertama masing-masing pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam, lapor A. JAILANI ABDULLAH dan DALLIA DUNSTAN.

Ketika Sepanyol menjaringkan gol pembukaan ketika aksi masih terlalu awal, Kuhan pula membantu Malaysia mencuri satu mata berharga menerusi gol penyamaan terakhir hanya beberapa saat sebelum hon penamat berbunyi.

Sepanyol hanya mengambil masa 26 saat untuk menghasilkan gol pertamanya, mengambil kesempatan atas kelemahan disiplin barisan pemain negara yang tidak memberi tumpuan terhadap permainan.

Dalam serangan pantas sebaik hon dibunyikan, Sepanyol terus menyerbu ke dalam kawasan D Malaysia dan mencipta keadaan kelam kabut sebelum Pol Amat merembat masuk dari jarak dekat menumpaskan penjaga gol, S. Kumar.

Tidak patah semangat dengan kejutan terlalu awal itu, barisan pemain negara mengatur gerak tersusun untuk mencari gol penyamaan.

Asakan kemas anak-anak buah Paul Lissek memaksa pertahanan Sepanyol membuat kesilapan pada minit kesembilan untuk memberikan pukulan penalti sudut pertama negara, Kuhan tidak mensia-siakan peluang apabila hayunannya tepat ke penjuru kiri gawang.

Sepanyol yang kali terakhir beraksi pada kejohanan ini pada 1995 dan menduduki tempat keempat bagaimanapun kembali di depan hanya lapan minit kemudian menerusi percubaan kedua, juga menerusi penalti sudut yang disudahkan oleh Freixa.

Malaysia, yang gagal memenangi kesemua empat perlawanan mereka pada edisi ke-12 kejohanan di Ipoh tahun lepas untuk menduduki tempat tercorot, memulakan babak kedua dengan meyakinkan. Pada minit ke-37, Norazlan Rahim mengasak ke dalam kawasan D Sepanyol untuk memaksa pertahanan lawan melakukan kesilapan dan memberikan pukulan penalti sudut.

Kuhan sekali lagi memanfaatkan peluang dengan rembatan yang menuju tepat di bawah palang untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Kegembiraan skuad negara tidak bertahan lama apabila Sepanyol sekali lagi di depan setelah Freixa menyempurnakan pukulan penalti sudut pada minit ke-44.

Ketika sebahagian peminat mula angkat kaki kerana menyangka Malaysia tidak mampu mencuri mata, skuad negara membuktikan sebaliknya.

Dalam asakan minit terakhir, skuad negara berjaya mendapatkan pukulan penalti sudut keempat yang disempurnakan oleh Kuhan.

Malaysia bakal berdepan laluan lebih sukar untuk mencatat kemenangan apabila bertemu juara dunia dan naib juara tahun lepas, Jerman hari ini manakala Sepanyol bertemu juara Olimpik dan Oceania, Australia.

Sementara itu, dua pasukan pilihan, Pakistan dan Jerman menepati ramalan awal apabila mudah mengatasi saingan lawan masing-masing.

Pakistan yang memulakan usaha memburu kejuaraan keempat hoki Piala Sultan Azlan Shah ini dengan langkah bergaya apabila menewaskan Korea Selatan 4-2 manakala Jerman mengatasi India 3-1.

MALAYSIA: S. Kumar, Muhamad Amin Rahim, K. Logan Raj, S. Kuhan, K. Gobinathan, M. Jiwa, K. Keevan Raj, Ismail Abu, Azlan Misron, Norazlan Rahim, Muhd. Shukri Abdul Mutalib

SEPANYOL: Bernardiro Herrera, Santiago Freixa, Juan Escarre, Alex Fabregas, Pol Amat, Eduard Tubau, Eduardo Aguilar, Ramon Alegre, Xavier Ribas, Jaime Perez, Ignacio Alborch

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4djLiM0V9
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan