Jumaat, 14 April 2017

Malaysia pasti layak - Mirnawan

ARKIB : 01/03/2004
BEKAS pemain negara, Mirnawan Nawawi yakin pasukan kebangsaan bakal layak ke sukan Olimpik 2004 di Athens tetapi memberi ingatan supaya para pemain mengetepikan masalah remeh seperti cuaca sejuk dan sukar mendapat makanan yang sesuai yang dilihat boleh mengganggu tumpuan mereka, lapor syed hisham idris.
Bekas ketua pasukan hoki kebangsaan itu berkata, tiada alasan untuk mereka gagal melayakkan diri dan jika ia terjadi, Mirnawan menyifatkan ia sebagai satu malapetaka dalam sukan itu di negara ini.
``Tiada sebab mereka gagal melepasi pusingan kelayakkan Olimpik kerana mereka sudah membuat persediaan sejak tahun hampir dua tahun.
``Lagipun kita berada bersama pasukan yang boleh ditewaskan seperti New Zealand, Kanada, Belgium dan saingan hanya dari pasukan India dan Pakistan tetapi kita pernah menewaskan kedua-dua pasukan pilihan itu.
``Saya berharap barisan pemain kita mampu meneruskan rekod Malaysia yang tidak pernah gagal ke sukan Olimpik, kecuali pada 1988 di Seoul, Korea.
``Jika kita gagal, kita akan tersisih dari pasukan terbaik dunia dalam tempoh empat tahun,'' katanya ketika ditemui di Petaling Jaya, semalam.
Malaysia bakal berdepan New Zealand pada perlawanan kelayakkan Olimpik di Madrid, Sepanyol, esok.
Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama New Zealand, India, Kanada, Pakistan dan Belgium.
Mirnawan yang telah beraksi dalam tiga sukan Olimpik sejak 1992 berkata, skuad kebangsaan juga berada di ranking terbaik iaitu antara tujuh pasukan terbaik dunia buat masa ini, berbanding pasukan lain dalam kumpulan B.
Selain itu, katanya para pemain juga sudah dapat menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di Madrid kerana mereka pernah mengadakan perlawanan persahabatan di sana sebelum ini.
``Saya juga yakin kombinasi pemain senior dan muda tidak berdepan laluan getir untuk ke Olimpik cuma mereka perlu memperkuatkan mental kerana kejo-hanan sebesar pra-Olimpik menuntut pengalaman yang cukup luas,'' katanya.
Tambahnya, pemain senior seperti ketua pasukan, S. Kuhan, Keevan Raj, K. Gopinathan, Jiva Mohan, Roslan Jamaluddin dan Azlan Misron mampu berganding dengan baik bersama pemain muda.
``Saya berpendapat skuad nasional sekarang cukup mantap kerana mereka sudah membuat persediaan secukupnya untuk ke Olimpik,'' ujarnya.
Mirnawan turut menegaskan bahawa pemain muda perlu sedar kejohanan pra-Olimpik bukanlah kejohanan untuk mendapatkan pendedahan antarabangsa.
Sebaliknya, kata Mirnawan kejohanan sebesar itu merupakan kejohanan untuk menghasilkan keputusan yang baik.
``Sama ada pemain cukup pendedahan atau sebaliknya, mereka harus memikul tanggungjawab meneruskan rekod cemerlang skuad hoki kebangsaan yang tidak terlepas dari beraksi di sukan Olimpik,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan