Jumaat, 7 April 2017

Menang tapi hambar



ARKIB : 25/09/2003
 
SKUAD negara hanya mampu mencipta kemenangan 2-1 ke atas pasukan lemah, Hong Kong pada perlawanan Kumpulan A kejohanan hoki Piala Asia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam ketika dua musuh tradisi, Pakistan dan India bertemu dalam perlawanan sengit untuk merebut juara Kumpulan B.

Kemenangan tipis itu tidak memberi sebarang makna kecuali mengesahkan tempat selaku pasukan di tangga ketiga kumpulan di belakang Korea Selatan dan Jepun.

Malah, skuad negara mempersembahkan permainan tidak bermaya untuk menerima kejutan awal apabila Hong Kong menjaringkan gol sulung perlawanan menerusi Ali Asghar pada minit ke-20.

Tertekan untuk menjaga maruah, skuad negara mula mengatur rentak lebih kemas dan berjaya menyamakan kedudukan melalui Tajol Roslie Mohamed, tetapi terpaksa menunggu sehingga minit ke-32.

Akur dengan peluang yang sudah tertutup untuk ke separuh akhir, Malaysia hanya menambah satu lagi gol menerusi pukulan penalti sudut ketua pasukan, S. Kuhan pada minit ke-59.

Jurulatih negara, Paul Lissek bagaimanapun tetap berpuas hati dengan kemenangan tipis dalam perlawanan itu, yang menurutnya digunakan untuk menguji taktik baru.

``Pertama, kami menang perlawanan itu dan kedua, kami bermain secara taktikal,'' katanya.

Skuad negara akan bertemu pasukan di tempat keempat Kumpulan B, Bangladesh, yang tumpas 8-0 kepada China, dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-5/8 esok.

China mendapat tujuh gol menerusi Song Yi (minit ke-4, 13, 19, 36, 42, 56 dan 69) manakala Yu Haiao menambah satu gol di minit ke-17.

Sementara itu, Korea Selatan menundukkan Jepun 6-0 untuk muncul juara Kumpulan A dengan tujuh mata, satu di depan Jepun.

Korea memperoleh gol-golnya menerusi Seo Jong Ho (minit 1 dan 58), You Hyo Sik (11), Kim Kyung Seok (17 dan 44), Lee Jung Seon (27).

Namun, perlawanan tumpuan semalam ialah pertemuan Pakistan-India. Pakistan kelihatan selesa pada 20 minit pertama apabila mendahului 2-0 menerusi dua jaringan Kashif Jawad masing-masing pada minit ke-11 dan 19.

Namun, Deepak Thakur yang kemudiannya mendapatkan gol pertama minit 24 sebelum membantu jaringan gol kedua.

Pakistan yang bermain lebih tenang akhirnya kembali di depan apabila mendapat pukulan penalti sudut pertamanya pada minit ke-60, yang disempurnakan oleh Wasim Ahmad.

Ketika perlawanan berbaki seminit, Pakistan sekali lagi mendapat pukulan penalti sudut, dan kali ini Sohail Abbas menolak kencang ke penjuru atas gawang untuk gol keempat untuk mematikan saingan India, sekali gus meletakkan juara tiga kali itu selaku juara Kumpulan B.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4da2IgAs2
© Utusan Melayu (M) Bh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan