Sabtu, 8 April 2017

`Mirnawan' jadi kebanggaan



ARKIB : 24/10/2003

KAYU hoki berjenama Mirnawan yang dihasilkan oleh syarikat tempatan, Syarikat Car N Co Sdn. Bhd. perlu dicontohi oleh pihak swasta yang lain agar menghasilkan lebih banyak lagi produk peralatan sukan nasional untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Hishammuddin Hussein berkata, pengeluaran peralatan sukan buatan tempatan yang lebih banyak pada masa depan dapat membantu menjana pertumbuhan industri pembuatan dalam pelbagai peralatan sukan di Malaysia.

Hishammuddin memberitahu rata-rata rakyat tempatan dan atlet-atlet kebangsaan menggunakan peralatan sukan yang diimport dari negara luar.

``Malaysia kaya dengan bahan-bahan mentah dan berupaya menjadi pengeluar peralatan sukan bagaimanapun sehingga kini tiada syarikat tempatan yang berminat untuk menerokai industri pembuatan barangan sukan ini secara agresif,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kayu Hoki jenama Mirnawan, Kayu Hoki Junior, MN 1 dan Kayu Hoki Senior MN 2 keluaran Car & Co Sdn. Bhd. di Gelanggang Hoki, Kompleks Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Tan Sri P. Alagendra, bekas ketua pasukan hoki kebangsaan, Minarwan Nawawi, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Wira Mazlan Ahmad dan Pengarah Car N Co Sdn.Bhd., Abdul Hamid.

Hishammuddin menegaskan bahawa lazimnya negara-negara pengeluar barangan sukan akan menggunakan acara sukan yang besar anjuran mereka sebagai batu loncatan untuk mempromosikan peralatan sukan buatan negara mereka.

Justeru itu, katanya, kayu hoki jenama Minarwan yang dilancarkan semalam diharap dapat membantu memperkembangkan sukan hoki negara.

``Harganya berpatutan dan faktor ini dapat menarik minat lebih ramai pelajar sekolah memiliki kayu hoki buatan Malaysia yang bermutu tinggi dan ia membuka lebih banyak peluang untuk kita mencungkil bakat baru dalam sukan hoki,'' katanya.

Mengulas mengenai ketahanan produk barangan sukan tempatan di pasaran, Hishamuddin mengakui sebelum ini telah wujud banyak produk keluaran tempatan yang menggunakan nama atlet namun tidak bertahan lama.

``Ia berlaku kerana tidak mendapat sokongan. Selain itu, syarikat tempatan ini tidak memberi fokus kepada strategi yang boleh menyediakan asas kukuh untuk mempromosikan produk mereka,'' katanya.

Kayu hoki komposit MN 1 dan MN 2 yang menggunakan kombinasi karbon dan gentian kaca itu telah mengikut spesifikasi yang ditetapkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

MN 1 yang dijual dengan harga RM95 adalah untuk kanak-kanak yang berusia 8 hingga 12 tahun manakala MN 2 dijual dengan harga RM125 sesuai untuk peringkat remaja dan dewasa.

Sementara itu, bekas ketua pasukan hoki kebangsaan, Mirnawan Nawawi berkata, penggunaan namanya pada kayu hoki itu jelas menunjukkan komitmennya yang berterusan kepada dunia hoki tanah air.

``Selepas bermain untuk negara selama 14 tahun, penggunaan nama saya - Mirnawan Nawawi adalah antara sumbangan saya kepada dunia hoki kebangsaan dan saya bangga.'

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1024&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4de2vRnHz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan