Ahad, 7 Mei 2017

Hairul galas cabaran besar

ARKIB : 02/02/2005
KUALA LUMPUR - Pemain pertahanan, Hairul Nizam Rani yang membantu skuad hoki negara menang tiga kali ke atas Belgium dalam perlawanan ujian baru-baru ini kini sudah bersedia untuk menggalas tugas lebih mencabar - pusingan kelayakan Piala Dunia tahun depan, lapor A. JAILANI ABDULLAH.
Tetapi dia mengakui bahawa perjalanannya masih jauh dan dia perlu lebih dulu mempamerkan persembahan meyakinkan untuk menambat hati jurulatih, Wallace Tan dan pihak pengurusan skuad negara bagi memenuhi syarat untuk mewakili negara ke pertandingan lebih besar.
``Perlawanan dengan Belgium ialah satu permulaan buat saya. Perjalanan saya masih jauh dan saya perlu membuktikan saya memiliki kemampuan untuk disenaraikan dalam skuad negara,'' kata Hairul.
Hairul, 25, dari Ipoh, bagaimanapun berfikiran positif mengenai peluangnya untuk berada dalam skuad negara, dan gol pertamanya di peringkat antarabangsa ketika pertemuan kali keempat dengan Belgium menambah semarak semangatnya.
Malaysia menang tiga dan seri sekali 1-1 dalam empat perlawanan dengan pasukan Eropah itu. Hairul mendapat golnya pada perlawanan keempat iaitu ketika Malaysia menang 3-2. Dua perlawanan pertama Malaysia menang 2-0.
``Saya cukup gembira kerana dapat menjaringkan gol sulung saya di peringkat antarabangsa. Ini akan memberikan saya semangat untuk bekerja lebih kuat,'' katanya.
Dia juga berterima kasih kepada pasukan kerana memberikannya peluang untuk mengambil pukulan penalti sudut yang disempurnakannya dengan baik untuk gol itu.
``Saya ucapkan terima kasih kepada pasukan kerana memberikan saya peluang dan menaruh keyakinan kepada saya untuk mengambil pukulan itu kerana kita masih mempunyai pemukul kedua.
``Memang saya ada membuat latihan sendiri tetapi saya harus akui bahawa saya gementar juga untuk mengambil pukulan itu kerana ia dilakukan dalam perlawanan antarabangsa. Saya cuba tenangkan diri dan hanya ingin melakukan yang terbaik,'' katanya.
Selain Hairul, skuad negara memiliki Mohamed Amin Rahim sebagai pakar pukulan penalti sudut dalam perlawanan itu. Pakar pertama, S. Kuhan beraksi dalam liga India bersama-sama seorang lagi pemain pertahanan, Norazlan Bakar.
Skuad negara tidak mempunyai jadual ketat tahun ini selain kejohanan Piala Sultan Azlan Shah pada Mei. Tugas besar hanya menunggu mereka pada tahun depan iaitu pusingan kelayakan Piala Dunia yang akan berlangsung di Beijing.
Perlawanan dengan Belgium itu merupakan khidmat pertama Hairul kepada skuad senior negara.
Hairul pernah beraksi untuk skuad junior dalam Piala Dunia Remaja di Hobart, Australia di mana Malaysia menduduki tempat ke-12.
Dia pernah dipanggil menyertai sesi pemilihan sebelum ini tetapi sakit belakang yang dialaminya memaksanya untuk berehat dan kemudian hanya menumpukan usahanya membantu Maybank dalam liga, di mana mereka menduduki tempat keempat tahun lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan