Rabu, 31 Mei 2017

Hoki Piala Dunia Remaja - PHM umum skuad terbaik



ARKIB : 19/06/2005

RAJA NAZRIN SHAH memberikan kata-kata perangsang kepada pemain-pemain yang tersenarai ke Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja, di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Pemain penyerang, Ahmad Anuar Sham Kamar dan pemain tengah, Md. Izwan Hassan digugurkan daripada skuad ``terbaik pernah dilahirkan oleh Malaysia'' yang akan beraksi dalam Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja apabila senarai akhir diumumkan semalam.

Mereka bagaimanapun akan tetap berada di Rotterdam, Belanda sepanjang kejohanan itu berlangsung, dari 29 Jun hingga 10 Julai.

Skuad negara yang diketuai oleh pemain pertahanan, Engku Abd. Malek Engku Mohamad selaku ketua pasukan akan berlepas pada Rabu ini.

Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) Raja Nazrin Shah berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) telah bermurah hati dengan membenarkan kedua-dua pemain itu turut ke Rotterdam dan mereka akan tinggal bersama-sama para pegawai.

Mengenai kemampuan pasukan negara, Raja Nazrin berkata: ``Pemain-pemain ini mempunyai kemampuan untuk bermain dengan baik. Mereka adalah setaraf dengan pasukan-pasukan lain.

``Saya telah menyaksikan mereka bermain dengan baik dan mereka pernah menewaskan pasukan terbaik. Mereka mempunyai kebolehan dan kecergasan untuk bersaing dengan mana-mana pasukan.''

Raja Nazrin bagaimanapun enggan meletakkan sasaran tertentu untuk skuad yang dibimbing oleh bekas pemain kebangsaan, Sarjit Singh ini.

``Saya tidak mahu menetapkan sasaran... tetapi saya yakin mereka boleh pergi jauh.

``Mereka adalah pasukan remaja terbaik pernah dilahirkan oleh Malaysia,'' kata Raja Nazrin.

``Saya tidak akan bersama mereka pada pusingan

Piala Dunia Remaja menampilkan 16 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan.

Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama-sama Jerman, Afrika Selatan dan naib juara kejohanan lepas, Argentina. Tiga pasukan teratas setiap kumpulan akan bermain di pusingan kedua.

``Oleh kerana ada komitmen lain, saya tidak akan berada bersama-sama mereka pada pusingan pertama. Saya akan hanya berada di Rotterdam pada pusingan kedua, yang mana saya harap mereka berjaya layak,'' kata Raja Nazrin.

Pada kejohanan lepas di Hobart, Australia, Malaysia menduduki tempat ke-12.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iekno7lv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan