Sabtu, 6 Mei 2017

Kita menang 2-0

ARKIB : 23/01/2005
KUALA LUMPUR - Jurulatih baru, Wallace Tan mendapat kemenangan sulung sejak membimbing skuad hoki lelaki negara apabila anak-anak buahnya menewaskan Belgium 2-0 dalam perlawanan ujian di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.
Perlawanan itu, yang pertama dari siri empat perlawanan, merupakan perlawanan antarabangsa pertama buat bekas jurulatih Maybank itu sejak dilantik membimbing skuad negara pada penghujung tahun lepas.
Belgium merupakan pasukan yang menyebabkan Malaysia tersingkir daripada Sukan Olimpik tahun lepas apabila menewaskan skuad negara, yang ketika itu dibimbing oleh Paul Lissek, 2-1 pada perlawanan terakhir mereka di pusingan kelayakan di Madrid, Sepanyol.
Skuad negara memperoleh gol pada awal babak pertama, kedua-duanya menerusi gerakan cantik yang bermula dari bahagian tengah sebelum Mohd. Fairuz Ramli dan K. Logan Raj masing-masing membuat penyudahan sempurna.
``Ini ialah permulaan yang baik,'' kata Wallace selepas perlawanan. ``Tetapi yang penting bagi saya ialah saya mahu melihat pemain-pemain saya bermain mengikut kehendak saya.''
Perlawanan kedua akan berlangsung di Bukit Serindit, Melaka esok manakala baki dua lagi akan dilangsungkan di Bukit Jalil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan