Sabtu, 27 Mei 2017

Malaysia bangkit garang ikat Jerman



 
ARKIB : 31/03/2005
Malaysia bangkit garang ikat Jerman

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN
PEMAIN Malaysia, Tengku Ahmad Tajuddin (kiri) dihalang oleh pemain Jerman, Maximilian Muller pada Kejohanan Hoki Remaja Enam Negara di Stadium Hoki Bukit Jalil, semalam.


KUALA LUMPUR - Skuad muda hoki negara bangkit dengan garang untuk mengikat Jerman 4-4 walaupun ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama pada Kejohanan Hoki Remaja Enam Negara di Stadium Hoki Bukit Jalil, semalam.

Wira negara, Zulkiffli Mohd. Rejab yang menjaringkan kesemua empat gol negara melalui pukulan penalti sudut berjaya mengembalikan semangat rakan sepasukan walaupun aksi permulaan agak lembap.

Anak didik Sarjit Singh itu kelihatan lebih yakin apabila melangkah ke padang pada separuh masa kedua walaupun ketika itu ketinggalan 0-2 namun, jaringan Zulkiffli melalui pukulan penalti sudut meningkatkan keyakinan mereka.

Asakan demi asakan dilakukan pemain muda negara ke kubu lawan namun, pertahanan mantap Jerman berjaya mengekang beberapa peluang.

Malaysia sebelum ini seri tanpa jaringan dengan Pakistan pada perlawanan pertama Ahad lepas dan kemudian mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas England Isnin lalu, akan bertemu Korea Selatan hari ini.

Walaupun pada satu ketika, pasukan negara berjaya mendahului Jerman 4-3, namun jaringan penyamaan ketua pasukan Jerman, Sebastian Draguhn enam minit sebelum masa perlawanan tamat, menghalang kemaraan pasukan negara untuk menang perlawanan Kejohanan Hoki Remaja Enam Negara itu.

Apa pun, jaringan itu tidak mematahkan semangat tonggak muda, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil untuk membuat jaringan selepas menerima hantaran jauh namun tidak dikira oleh pengadil.

``Saya berpuas hati dengan corak permainan mereka hari ini (semalam) yang menunjukkan prestasi yang memberangsangkan ketika mengasak kubu lawan.

``Namun, saya agak risau dengan stamina kecergasan mereka dan berharap mereka tidak akan berasa terlalu letih dalam pertemuan dengan Korea (Selatan) esok (hari ini).

``Apa pun, saya pasti, para pemain akan tetap berasa letih dalam mana-mana perlawanan selepas ini namun, saya sudah bersedia untuk menghadapi perkara itu,'' kata Sarjit yang berpuas hati dengan persembahan pemainnya selepas kejayaan mereka merapatkan jurang jaringan.

Setakat ini katanya, pemain-pemainnya telah menunjukkan corak permainan yang baik dan mampu melakukan sesuatu pada pertemuan dengan Korea Selatan hari ini.

``Apa pun, para pemain berjaya menghadapi tekanan daripada pihak lawan dan tidak mudah patah semangat untuk meneruskan kemaraan,'' kata bekas pemain pertahanan kebangsaan itu.

Semua enam negara yang menyertai kejohanan yang akan berakhir pada Ahad ini akan menyertai Piala Dunia Remaja di Belanda pada Julai ini.

Kesemua lima pencabar Malaysia di kejohanan ini memiliki ranking yang lebih baik berbanding skuad negara.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iKrNd7TC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan