Selasa, 30 Mei 2017

Malaysia belasah India 4-1



ARKIB : 30/05/2005

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
PARA pemain skuad hoki Malaysia bersorak kegembiraan meraikan kejayaan mereka menewaskan India 4-1 pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam. - Gambar ASWAD YAHYA.


KUALA LUMPUR - Hari gembira buat hoki negara hadir semalam apabila skuad negara menang selesa 4-1 ke atas India pada hari keempat Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah sekali pun sebelum perlawanan cuaca seakan membawa petanda buruk.

Ia adalah kemenangan pertama skuad negara selepas tiga kali bermain. Malaysia sebelum ini kalah 1-3 kepada juara Olimpik Athens, Australia dan seri 1-1 dengan Afrika Selatan.

Skuad negara bagaimanapun masih mempamerkan sedikit kelemahan di beberapa bahagian terutama depan dalam perlawanan yang menyaksikan mereka menguasai awal babak pertama dan tiba-tiba merosot sehingga rehat.

Pasukan negara, yang sebelum perlawanan menduduki tempat tercorot daripada tujuh pasukan yang bersaing, bermula dengan aksi berani, anak-anak didik Wallace Tan menguasai perlawanan sebaik perlawanan dimulakan dengan ketua pasukan, S. Kuhan menyempurnakan penalti sudut minit keenam untuk meletakkan pasukannya di depan.

Sebelum itu, K. Logan Raj sepatutnya menjadi penjaring pertama pada minit ketiga tetapi umpanan lintang penyerang, Mohd. Rodhanizam Mat Radzi gagal dikuis ketika penjaga gol India, Davesh Chuahan sudahpun tertewas.

Penguasaan skuad negara berakhir sekadar bertahan sepuluh minit pertama untuk membuka ruang buat India, yang menang 2-1 ke atas Afrika Selatan dan seri 2-2 dengan New Zealand, mengasak dan memperoleh gol penyamaan pada minit kesembilan menerusi pukulan penalti sudut Dilip Tirkey.

Namun, semangat skuad negara membara semula selepas rehat dengan bahagian tengah dikuasai sepenuhnya oleh barisan pemain negara. Penyenaraian pakar pukulan penalti sudut, Muhamad Amin Rahim, yang tidak bermain dalam dua perlawanan pertama skuad negara, mengukuhkan bahagian pertahanan yang diterajui oleh ketua pasukan, S. Kuhan bersama-sama Norazlan Bakar dan Mohd. Madzli Ikmar.

Asakan garang skuad negara membuatkan pertahanan India yang diterajui oleh pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia, Len Aiyappa tidak senang duduk dan mereka akhirnya membuat kesilapan apabila ditewaskan oleh pemain tengah, Robert Alcantra yang membuat larian licik sebelum merembat masuk melepasi Davesh untuk gol kedua.

Skuad negara tidak menoleh lagi selepas itu ketika India masih tercari-cari formula untuk melepasi kawalan ketat pemain-pemain tengah skuad negara.

Ketika mereka masih buntu, serangan Malaysia pada minit ke-50 menghasilkan pukulan penalti sudut. Kuhan yang mengacah untuk melepaskan rembatan terus, menolak kepada Muhamad Amin di sebelah kiri untuk merembat masuk manakala pertahanan India sudah terpedaya.

Walaupun mendahului 3-1, skuad negara terus mengasak dan memperoleh pukulan penalti sudut pada minit ke-64 dan Kuhan terus membuat rembatan untuk gol kedua peribadinya semalam.

``Selepas rehat, kami mengukuhkan bahagian tertentu dan pemain-pemain saya bermain mengikut arahan,'' kata jurulatih skuad negara, Wallace.

``Beberapa pemain telah menunjukkan peningkatan tetapi masih ada beberapa bahagian yang perlu diperkemaskan,'' katanya lagi.

Malaysia akan menentang Korea Selatan esok, perlawanan yang sudah pasti sukar buat skuad negara tetapi mencuri mata daripada pasukan hebat itu bukan sesuatu yang mustahil.

Ketika skuad negara keletihan akibat perlawanan sengit dengan India, Korea yang terkenal dengan stamina tinggi mendapat rehat secukupnya semalam kerana tidak bermain. Korea sebelum ini seri 3-3 dengan Australia pada Jumaat dalam perlawanan yang sengit dan meletihkan. Perlawanan itu dilihat menjadi antara sebab mereka kalah 2-3 kepada Pakistan kelmarin.

``Korea ialah pasukan yang kuat. Mereka telah menunjukkannya ketika menentang Australia.

``Mereka mendahului 2-0 pada satu ketika, kemudian ketinggalan tetapi bangkit semula... oleh itu pemain-pemain perlu bekerja lebih keras esok (hari ini),'' kata Wallace.

Perlawanan lain semalam menyaksikan Pakistan menundukkan Afrika Selatan 2-0 untuk mengekalkan rekod cemerlang selepas tiga perlawanan dan mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dengan sembilan mata.

Pakistan memperoleh kedua-dua gol pada babak pertama menerusi percubaan Shakeel Abbasi dan Rehan Butt, masing-masing pada minit ke-24 dan 30.

Sementara itu, Australia mengekori Pakistan selepas menundukkan New Zealand 2-1 dalam satu lagi perlawanan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iZUmLMvT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan