Ahad, 28 Mei 2017

Malaysia bergaya ke aksi akhir



ARKIB : 03/04/2005

Oleh A. Jailani Abdullah
 
 PEMAIN negara, Zulkifli Rejab (dua dari kiri) diraikan oleh rakan-rakannya selepas menjaringkan gol dalam perlawanan dengan India pada kejohanan hoki remaja enam negara di Bukit Jalil semalam. Malaysia menang 1-0. - Gambar ASWAD YAHYA.

 KUALA LUMPUR - Malaysia mencipta kejutan apabila menewaskan juara dunia India untuk mara ke perlawanan akhir, terima kasih kepada gol tunggal oleh pakar penalti sudut, Zulkifli Rejab pada perlawanan terakhir di peringkat awal kejohanan hoki remaja enam negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Malaysia, yang akan menentang Pakistan dalam perlawanan akhir hari ini, menyerang dengan baik di samping bertahan sebagai satu unit dan kawalan kemas oleh penjaga gol, Kairul Nizam Ibrahim dalam perlawanan penuh debaran itu.

Ia adalah kemenangan pertama Malaysia ke atas India.

Malaysia bertahan dengan cukup baik sehingga tidak membuat kesilapan bagi menghampakan India untuk memperoleh pukulan penalti sudut, yang akan memberi ruang kepada pemain digeruni, Sandeep Singh.

Masuk ke padang dengan tahu bahawa seri sudah cukup buat mereka untuk ke perlawanan akhir, anak-anak didik Sarjit Singh sebaliknya menyerang sejak awal untuk memberi tekanan kepada India yang memerlukan tiga mata.

Ia menghasilkan permainan pantas oleh kedua-dua pasukan tetapi Malaysia lebih dulu mengejutkan India apabila pukulan percuma Zulkifli menerjah gawang pada minit ke-10 hanya untuk dihampakan kerana bola terlebih dulu terkena kaki rakan.

Malaysia mendapat tiga peluang selepas itu menerusi penalti sudut pada minit ke-21, 22 dan 53 tetapi kesemuanya gagal disempurnakan dengan baik.

India yang terdesak mencari gol kemenangan membuka permainan mereka ketika permainan berbaki 15 minit sekali gus memberi ruang buat pemain-pemain negara mengasak dengan lebih garang.

Ia menghasilkan penalti sudut pada minit ke-61 dan peluang terakhir itu digunakan dengan begitu sempurna oleh Zulkifli untuk merembat masuk bola ke sudut kanan bagi menewaskan penjaga gol, Adrian D'Souza.

India segera bangkit dengan garang dan lima minit selepas itu mereka tambah kecewa apabila pengadil tidak membenarkan gol penyamaan mereka, yang dilakukan dari luar kawasan D.

Pemain-pemain India membantah dan mendakwa bola disentuh di dalam kawasan D tetapi ia tidak dilayan.

Sementara itu, Pakistan, yang terlebih dulu menempah tempat ke perlawanan akhir, menundukkan England 7-6.

Gol-gol Pakistan diperoleh menerusi Ishtiaq Muhammad (minit 4), Imran Muhammad (16), Kashif Yaqoob (26), Arif Muhammad (42), Akhtar Muhammad (52), Imran Warsi (65 dan 70) manakala England membalas menerusi Darren Chessman (8), Adam Dixon (23), Chris Seddon (26), Simon Mantell (30, 66 dan 68).

Pakistan mara ke perlawanan akhir dengan rekod menang empat perlawanan dan seri sekali 0-0 dengan Malaysia untuk mengumpul 13 mata, dua mata di atas Malaysia yang menduduki tangga kedua.

``Perlawanan hari ini cukup sukar kerana India juga bermain dengan cukup baik. Kami harap masa yang ada sebelum perlawanan akhir esok (hari ini) cukup buat pemain-pemain memulihkan tenaga,'' kata jurulatih negara, Sarjit.

India di tempat ke-tiga dengan tujuh mata dan akan bertemu Korea Selatan untuk penentuan tempat ke-3/4 hari ini.

Korea Selatan menempah perlawanan itu selepas menundukkan Jerman 4-3 semalam.

Korea memperoleh gol-golnya menerusi Kim Seong Kyu (4), Jang Jong Hyun (39), Kim Young Jin (45) dan Hong Seng Kweon (64) manakala Jerman melalui Stefan Witte (42 dan 69) serta Frederic Schlenker (65).

Jerman akan bertemu England untuk perlawanan penentuan tempat ke-5/6.

Perlawanan pada hari terakhir hari ini akan dikenakan bayaran sebanyak RM2 yang akan didermakan kepada mangsa-mangsa tsunami.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iM8rIOxY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan