Ahad, 28 Mei 2017

Malaysia naib juara



ARKIB : 04/04/2005

PEMAIN Malaysia, Mohd. Sufian (kiri) menyekat pemain Pakistan, Tariq Aziz dalam aksi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

MALAYSIA 2 PAKISTAN 4

KUALA LUMPUR - Hajat Malaysia untuk mengukir kemenangan manis tidak kesampaian apabila anak didik Sarjit Singh sekadar muncul naib juara selepas tunduk 4-2 kepada Pakistan menerusi penentuan penalti dalam perlawanan akhir Kejohanan Hoki Enam Negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, semalam.

Perlawanan diheret sehingga permainan masa tambahan jaringan emas selepas kedudukan terikat 2-2 sehinggalah tamat permainan masa sebenar.

Nasib jelas tidak memihak kepada skuad negara yang mendahului 2-1 apabila kealpaan pertahanan dalam tempoh tujuh saat membawa padah dengan gol penyamaan ketua pasukan Pakistan, Shakeel Abbasi.

Ia menjadi detik yang memulakan episod malang aksi cemerlang pemain negara yang terpaksa beraksi dalam masa tambahan.

Kedua-dua pasukan terus buntu dalam usaha mencari gol kemenangan. Permainan yang terikat akhirnya terpaksa ditentukan dengan penentuan penalti.

Begitupun pujian harus diberikan kepada pasukan bimbingan Sarjit ini berikutan keupayaan mereka muncul naib juara. Ia bakal menjadi suntikan semangat menjelang Kejohanan Hoki Remaja Dunia yang akan berlangsung di Rotterdam, Belanda pada Jun ini.

Malaysia bagaimanapun memenangi anugerah Permainan Bersih sementara Kelvinder Singh meraih anugerah pemain terbaik perlawanan akhir. Pada perlawanan separuh akhir kelmarin, Malaysia mengejutkan pasukan pilihan, yang juga penyandan juara remaja dunia, India 1-0.

Sejurus wisel ditiup, anak didik Sarjit Singh tangkas melakukan serangan cuba memburu gol awal namun mendapati Pakistan kental mematahkan gerakan yang diatur.

Pakistan membuka tirai jaringan hasil kesilapan ketua pasukan negara, Engku Abdul Malek yang menahan pukulan sudut penalti dengan dada. Pengadil menghadiahkan pukulan penalti yang mudah disempurnakan oleh Imran Warsi pada minit ke-17.

Pada minit ke-21,Kevinder Singh menolak masuk gol penyamaan dan meraih gol kedua menerusi Mohd. Shahrun Nabi pada minit ke-47 sebelum Pakistan menyamakan kedudukan 2-2 hasil jaringan Hakeel Abbasi.

SUMBRTArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iMHQp9tL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan