Rabu, 31 Mei 2017

Malaysia perit sebelum menang



ARKIB : 09/07/2005

ROTTERDAM, Belanda - Malaysia diberi tentangan sengit sebelum menang tipis 2-1 ke atas Mesir dalam perlawanan klasifikasi kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di sini, semalam tetapi keputusan itu sudah memastikan sekurang-kurangnya kedudukan kesepuluh keseluruhan untuk kejohanan edisi kelapan itu berada dalam genggaman.

Jaringan padang menerusi Kelvinder Singh pada minit ke-36 disusuli Ismail Abu sepuluh minit kemudian membolehkan Malaysia beraksi untuk penentuan tempat kesembilan dan sepuluh dengan lawan dari England yang menang 3-1 dengan Belgium.

Mesir mencuri satu gol menerusi jaringan padang pada minit ke-69 oleh Mahmoud Hanafy.

Dengan keputusan semalam, Malaysia kini sudah boleh menarik nafas lega apabila sekurang-kurangnya memperbaiki pencapaian di tempat ke-12 pada kejohanan edisi ketujuh di Hobart, Australia pada 2001.

Jurulatih negara, Sarjit Singh berkata, keadaan padang yang terlalu basah akibat hujan sehingga memaksa permainan dilangsungkan 45 minit lewat menjejaskan rentak permainan Malaysia.

Pada perlawanan semalam, Malaysia memperoleh tiga pukulan sudut penalti dibabak pertama tetapi kesemuanya gagal disempurnakan oleh penjaring terbanyak Zulkfli Rejab.

Mesir turut berpeluang mencipta jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-15 tetapi bola tinggi Mahmoud Elbadry berjata ditepis penjaga gol Kairul Nizam Ibrahim.

Ismail Abu mengukuhkan kedudukan sepuluh minit kemudian juga menerusi jaringan pada hasil gerakan dari sebelah kanan pintu gol lawan.

Mesir dilihat mampu merapatkan kedudukan pada minit ke-51 apabila dihadiahkan pukulan penalti tetapi tolakan Mohmed Abd El Hamid berjaya ditepis penjaga gol negara, Kairul Nizam.

Malaysia memperoleh dua pukulan sudut penalti di babak kedua tetapi penjaring terbanyak, Zulkifli Rejab gagal dalam kedua-dua percubaan.

Mesir akhirnya memperoleh jaringan tunggal pada minit ke-69 selepas menampan tolakan rakan sepasukan, Mohamed Hussein.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iiOR0VBr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan