Rabu, 31 Mei 2017

Seri bukan faktor penentu



ARKIB : 04/07/2005
Daripada Sayed Hesham Idris 
ROTTERDAM, Belanda - Malaysia menghidupkan sisa-sia peluang untuk mara ke separuh akhir kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja apabila mengutip satu mata dalam perlawanan pembukaan pusingan kedua Kumpulan F selepas seri 3-3 dengan Australia dalam satu perlawanan menarik, di sini, semalam.

Begitupun laluan Malaysia ke separuh akhir tetap samar apabila perlu menang dalam dua perlawanan pusingan kedua berikutnya iaitu menentang Belgium esok diikuti Pakistan, sehari kemudian untuk mengutip tujuh mata maksimum.

Sekalipun berjaya meraih kesemua tujuh mata yang berpotensi untuk dimenangi, nasib Malaysia untuk menduduki kelompok empat pasukan terbaik kejohanan masih bergantung kepada kepada lain-lain keputusan perlawanan pasukan dalam kumpulan yang memiliki klebihan kerana mempunyai mata yang dibawa dari pusingan pertama iaitu Australia (6), Argentina (6), Jerman (3), Pakistan (3). Malaysia dan Belgium mara ke pusingan kedua tanpa sebarang mata apabila hanya menang satu perlawanan pusingan pertama.

Jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh nyata berpuas hati dengan keupayaan pemain mengikat pasukan pilihan Australia untuk menghidupkan peluang menduduki kelompok empat pasukan terbaik kejohanan kali ini.

Pada perlawanan paling menarik yang dipamer pasukan negara setakat ini di kejohanan itu semalam, Malaysia menguasai sebahagian besar permainan dan dilihat mampu menjinakkan Australia.

Pada perlawanan yang turut disaksikan oleh Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Raja Nazrin Shah, Malaysia mengejutkan Australia pada minit kelima dengan jaringan pembukaan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh penjaring terbanyak pasukan negara, Zulkifli Mohd Rejab.

Jaringan pendahulu itu nyata menyuntik semangat anak buah Sarjit Singh untuk terus memburu gol menerusi beberapa gerakan menarik oleh pemain barisan depan yang diterajui Tengku Tajudin Tengku Jalil, Azli Misron dan Ismail Abu tetapi Australia kental bertahan.

Jika tidak kerana ketangkasan penjaga gol, Kairul Nizam Ibrahim Australia memperoleh jaringan penyamaan awal apabila Kairul membuat jangkaan tepat menampan bola pukulan Joel Carroll pada minit ke-19.

Pasukan negara mempersia-sia peluang menambah jaringan apabila memperoleh dua pukulan sudut penalti pada minit ke-23 dan ke-26 tetapi tolakan Zulkifli dapat dibaca oleh penjaga gol lawan, Ben Creese.

Australia akhirnya menemui jaringan penyamaan untuk kedudukan 1-1 pada minit ke-28 apabila Colin Hennessey mudah menolak bola yang melepasi penjaga gol negara, Kairul Nizam selepas keadaan kelam kabut di depan pintu gol.

Babak kedua sekali lagi menyaksikan pasukan negara mencipta beberapa gerakan kreatif dan akhirnya Malaysia sekali lagi di depan sekali lagi menerusi Zulkifli pada minit ke-42 hasil pukulan sudut penalti.

Asakan bertalu-talu Australia membawa hasil apabila ketua pasukan, Mark Knowles tidak mempersia-siakan gerakan di depan pintu gol Malaysia untuk jaringan penyamaan 2-2 pada minit ke 55.

Tempoh 15 minit terakhir perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling menyerang dan Australia buat pertama kali mendahului pasukan negara apabila Iain Davidson mencipta jaringan menerusi gerakan dari sebelah kiri pintu gol pada minit ke-61.

Semangat pemain negara tidak goyah dan tidak mahu menamatkan perlawanan dengan kekalahan apabila Zulkfli memastikan gol penyamaan untuk kedudukan 3-3, iaitu jaringan hatrik pada perlawanan semalam, juga gol kelapan sepanjang kejohanan juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-63.

Harapan Malaysia untuk memenangi perlawanan tidak kesampaian apabila bola pukulan Ismail Abu yang menggegar gawang Australia hasil gerakan pukulan sudut penalti pada minit terakhir perlawanan, dibatalkan. - Utusan

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ihpQZtSg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan