Ahad, 7 Mei 2017

Skuad negara terus cemerlang

ARKIB : 24/01/2005
MELAKA - Skuad hoki negara sekali lagi mencatat kemenangan 2-0 ke atas Belgium dalam perlawanan ujian kedua di Stadium Hoki Bukit Serindit, di sini semalam tetapi kali ini selepas menerima saingan sengit daripada pasukan pelawat.
Gol-gol skuad negara dijaringkan oleh penyerang yang kembali ke dalam skuad kebangsaan, Mohd. Rodhanizam Mat Radzi pada minit ke-10 dan Mohd. Faizal Daud pada minit ke-62.
Ini adalah kemenangan kedua buat skuad negara daripada siri empat perlawanan ujian. Mereka menewaskan Belgium 2-0 pada perlawanan pertama di Bukit Jalil kelmarin.
Kedua-dua pasukan akan meneruskan baki dua perlawanan di Bukit Jalil esok dan Rabu.
Ketika tidak begitu terancam pada perlawanan pertama, semalam anak-anak buah Wallace Tan diberikan saingan sengit tetapi masih mampu mencipta banyak peluang untuk menambah jaringan gol tetapi gagal disempurnakan.
``Perlawanan hari ini lebih sengit berbanding semalam. Skuad kita lebih banyak menguasai perlawanan dengan mempunyai banyak peluang termasuk mendapat banyak pukulan penalti sudut berbanding Belgium,'' kata Wallace selepas perlawanan.
Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Raja Dr. Nazrin Shah Sultan Azlan Shah turut menyaksikan perlawanan tersebut.
Sempena perlawanan itu, PHM turut menyerahkan cek bernilai RM3,000 kepada Tabung Mangsa Tsunami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan