Ahad, 25 Jun 2017

Bernafas dalam lumpur



 
ARKIB : 19/04/2006
PEMAIN Malaysia, Logan Raj (tengah) diasak oleh dua pemain Perancis, Nicolas Musgens (kanan) dan Thomas Raisin dalam saingan Kumpulan B pusingan kelayakan hoki Piala Dunia di Changzhou, China, semalam. Malaysia tewas 1-4. - AFP.

CHANGZHOU - Perancis bukan sahaja meleburkan impian Malaysia ke separuh akhir tetapi turut meletakkan pasukan negara pada kedudukan yang genting selepas menewaskannya 4-1 pada pusingan kelayakan hoki Piala Dunia di Kompleks Sukan Wu Jin di sini, semalam.

Kekalahan terbesar dan ketiga dalam perlawanan Kumpulan B itu menyebabkan harapan Malaysia ke separuh akhir terkubur, malah hanya tinggal perkiraan tipis untuk merebut perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan.

Hanya lima pasukan teratas akan mara ke pusingan akhir Piala Dunia di Jerman September ini.

Malaysia kini mesti menewaskan New Zealand pada perlawanan akhir kumpulan esok dan mengharapkan kekalahan pasukan lain terutama Jepun yang boleh menjadi pemusnah impian Malaysia.

Mimpi buruk ketua jurulatih Wallace Tan menjadi kenyataan apabila barisan penyerang yang digeruni, ketua pasukan Frederic Soyez dan Julien Boyer sentiasa menjadi duri dalam benteng pertahanan Malaysia, malah masing-masing menyumbat satu gol.

Malaysia, yang memerlukan kemenangan bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir, memulakan rentak perlawanan agresif dengan cubaan Chua Boon Huat seawal minit pertama melepasi palang gol.

Seminit kemudian, M. Jiwa pula terlepas satu lagi peluang.

Perancis menggunakan kepantasan dari bahagian kiri dan kanan gelanggang sebagai kelebihan untuk merobek pertahanan Malaysia dengan gol pembukaan disempurnakan oleh Nicolas Gaillard pada minit ke-15.

Perancis mula memberi tekanan selepas gol pertama dan mendapat dua cubaan pukulan sudut penalti berturut-turut pada minit ke-18. Boyer yang tidak dikawal menyumbat gol untuk kedudukan 2-0.

Kejutan awal itu menyebabkan pemain Malaysia mula bertindak dan Kevinder Singh, yang diturunkan buat pertama kali dalam senarai kesebelasan utama, membuat hantaran kemas kepada Ismail Abu yang berjaya merapatkan jurang dengan penyudahan baik pada minit ke-25.

Malaysia tidak dapat meneruskan gaya serangan pada babak kedua kerana jelas keletihan dan tidak bersemangat.

Hanya satu cubaan pukulan sudut penalti yang diterima sepanjang perlawanan jelas menggambarkan kelemahan Malaysia melakukan serangan manakala Perancis menguasai babak kedua dengan Soyez menyempurnakan pukulan sudut penalti bagi gol ketiga pada minit ke-51 dan Sebastian Jean-Jean menutup tirai jaringan pada minit ke-57.

- Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l4C4qffD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan