Selasa, 27 Jun 2017

India mudah kalahkan Malaysia

ARKIB : 20/06/2006
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR - Malaysia mempamerkan persembahan yang jauh merosot berbanding kelmarin setelah dibelasah 2-5 oleh India dalam perlawanan Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-15, semalam.

Skuad negara yang nyaris mengejutkan Korea Selatan sebelum dipaksa seri dengan jaringan penyamaan lewat, kali ini seperti diperbudakkan sahaja oleh pelawat di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Kekalahan ini melontar Malaysia ke tangga tercorot kumpulan dengan hanya mengutip satu mata di belakang Korea Selatan, India dan Australia sekali gus menyempitkan laluan ke separuh akhir.

Anak buah Wallace Tan ini ketinggalan 0-3 sehingga 40 minit permainan hasil jaringan padang Arjun Halappa dan dua sudut penalti oleh Gagan Ajit Singh dan Sandeep Singh.

Malaysia bagaimanapun masih cuba bangkit untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata apabila Azlan Misron dan Jiwa Mohan menyumbat dua gol dalam tempoh enam minit, mulai minit ke-41.

Malangnya India masih terlalu gagah dengan Tushkar Khandkar dan Gajan membocori gawang kawalan S. Kumar pada minit ke-54 dan 56 lalu mengutip kemenangan

Kata Wallace, kesilapan barisan belakang negara merupakan punca lawan dengan berpesta gol sedangkan keadaan itu tidak sepatutnya berlaku dan mampu dielakkan.

“Kami cuba bangkit mengejar dan yakin untuk melakukannya setelah mendapat dua gol tetapi serangan kami agak bermasalah,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan

Korea yang terselamat seri 2-2, kelmarin, turut mengutip kemenangan sulung malah mengejutkan Australia 3-0 hasil dua jaringan Jang Jong Hyun dan Kang Seong Jung pada minit ke-20, 21 dan 23.

Pakistan juga membuka langkah kanan dengan membenam Belanda 3-2 dalam Kumpulan B, masing-masing menerusi Rehan Butt (5), Imran Warsi (20) dan Shakeel Abbasi (24).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_11.htm#ixzz4lCVnfR24
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan