Ahad, 25 Jun 2017

Menang tapi sulit


ARKIB : 17/04/2006
PEMAIN negara, K. Keevan Raj (tengah) dan Kevinder Singh (kiri) memeluk Ismail Abu yang menjaringkan gol kedua menentang China dalam Kumpulan B Kelayakan Hoki Piala Dunia di Kompleks Sukan Wu Jin, Changzhou, semalam. Malaysia menang 2-0. - AFP.

CHANGZHOU - Malaysia berjaya merobohkan tembok pertahanan kebal China pada babak pertama untuk mencatat kemenangan sulungnya, 2-0 dalam perlawanan Kumpulan B Kelayakan Hoki Piala Dunia di Kompleks Sukan Wu Jin di sini, semalam.

Menyedari hanya kemenangan mampu menghidupkan sisa harapan ke separuh akhir kelayakan dan pusingan akhir September ini, Malaysia melancarkan serangan pada awal minit lalu menguasai 80 peratus permainan.

Jurulatih negara, Wallace Tan membuat perkiraan tepat dengan menurunkan pemain berpengalaman sebagai penyerang iaitu M. Jiwa, K. Logan Raj dan Chua Boon Huat serta meletakkan M. Jivan ke benteng bagi menggantikan Nor Azlan Bakar yang tercedera.

Namun skuad negara terlebih dulu menghadapi rintangan kebal penjaga gol dan pertahanan China, Ri Feng Su dan Fang Ming Luo malah masih gagal menyambar peluang setelah dua pemain lawan dibuang padang sementara kerana menerima kad kuning.

Kehadiran serampang tiga Jiwa, Logan dan Boon Huat berjaya menembusi kekangan tuan rumah sehingga membolehkan penyerang belia negara, Tengku Tajuddin Jalil dan Ismail Abu menjaringkan gol yang dicari-cari pada minit ke-47 dan 61.

Tajuddin menampan pukulan Boon Huat dari sebelah kiri menerusi sudut penalti yang melonjak ke atas gawang China sementara Ismail mencuri hantaran kurang kemas benteng lawan untuk jaringan padang Malaysia.

Kemenangan itu melegakan kem Malaysia yang menerima tamparan hebat dengan dua kekalahan berturut-turut di tangan Jepun 0-1 dan Korea Selatan 1-3 sekali gus meletakkan nasib mereka umpama telur di hujung tanduk.

Peluang tuan rumah pula tampak pudar kerana hanya mampu mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan setakat ini termasuk seri 3-3 dengan Perancis dan kalah 1-4 kepada New Zealand.

Tiga mata ini sebaliknya membawa Malaysia melonjak ke tangga keempat Kumpulan B sekali gus memintas Jepun dengan kelebihan gol dari tempat tercorot tanpa mata dan kemenangan sebelumnya.

``Kemenangan ini amat diperlukan dan sudah tentu membantu mengurangkan tekanan ke atas pemain. Kini, kita perlu menundukkan Perancis dan New Zealand untuk terus mara,'' kata Wallace selepas perlawanan itu.

Walaupun mendahului China 2-0, saat-saat akhir perlawanan itu masih mencemaskan Malaysia apabila lawan mendapat tiga pukulan sudut penalti secara berturut-turut.

Dalam perlawanan lain, peluang Korea Selatan mara ke separuh akhir semakin cerah selepas mengalahkan Jepun 4-2 dan merampas teraju Kumpulan B daripada New Zealand yang dikejutkan oleh Perancis 2-5.

Perancis beroleh gol menerusi Sebastien Jean-Jean (minit keempat), Julien Boyer (5 dan 35), Frederic Soyez (29) dan Nicolas Gaillard (67) dan dibalas lawan oleh Lloyd Stephenson dan Hayden Shaw pada minit ke-15 dan 24.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l49SYcDC
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan