Ahad, 24 September 2017

Malaysia, Pakistan seri 2-2



ARKIB : 06/05/2007 
Oleh: KAMARUDDIN ISMAIL

Ipoh – Malaysia bermula dengan baik apabila mencatat keputusan seri 2-2 dengan Pakistan dalam saingan Kumpulan B Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah ke-16 di sini, semalam.

Skuad kebangsaan yang membariskan pemain muda memperoleh gol melalui Zulkifli Rejab seawal minit ketujuh sebelum Ismail Abu menyumbat gol kedua pada minit ke-29.

Pakistan pula menyamakan kedudukan melalui jaringan Ehsan Ullah pada minit ke-13 sebelum menambah jaringan menerusi Imran Warsi minit ke-42.

Para pemain muda kebangsaan mempamerkan corak permainan pantas pada awal perlawanan.

Kekuatan Malaysia teruji apabila Pakistan diberi pukulan sudut yang pertama pada minit ketiga tetapi gagal disempurnakan oleh Akhtar Ali.

Zulkifli Rejab berjaya meletakkan Malaysia di depan apabila tolakan pukulan sudut pendek pada minit ketujuh yang diambilnya menumpaskan penjaga gol Pakistan, Salman Akhbar.

Kegembiraan lebih 3,000 penyokong Malaysia terhenti apabila Ehsan Ullah dengan pantas menolak masuk pukulan sudut pendek pada minit ke-13 bagi menyamakan kedudukan.

Stadium Azlan Shah kembali ceria apabila rembatan kencang Ismail Abu pada minit ke-29 merobek gawang Pakistan untuk gol kedua negara.

Separuh masa kedua, kedua pasukan cuba menambahkan jaringan membuatkan permainan bertambah rancak.

Akhirnya, Pakistan berjaya menyamakan kedudukan melalui pakar pukulan sudut pendeknya, Imran Warsi pada minit ke-42.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ta29s3tm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan