Rabu, 18 Oktober 2017

Malaysia kalah bermaruah



ARKIB : 30/11/2007

Oleh A. JAILANI ABDULLAH

KUALA LUMPUR – Malaysia kalah 2-0 kepada Australia pada perlawanan pembukaan mereka dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara tetapi menunjukkan permainan terpuji, semalam.

Ia adalah perlawanan antara pasukan nombor satu dunia dengan pasukan di ranking ke-15, antara juara Olimpik dengan juara Sukan SEA. Meskipun Malaysia tewas tetapi memberikan persembahan menarik.

Jelas, Australia mendapati mereka terlalu sukar untuk menjinakkan saingan anak- anak buah Sarjit Singh yang saiz mereka jauh lebih kecil.

Malah, pemain-pemain muda negara mempamerkan aksi berbeza berbanding masa lampau dengan menyerang sejak awal dan beberapa kali menggamatkan Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil menerusi serangan mereka walaupun tidak berupaya memecah kubu skuad Kanggaru itu.

Australia pula terpaksa menunggu sehingga minit ke-20 untuk memperoleh gol pertama menerusi serangan dari kanan yang diakhiri oleh pukulan jarak dekat Russell Ford setelah dua penalti sudut mereka sebelum itu gagal menembusi kawalan penjaga gol, S. Kumar.

Malaysia turut memperoleh peluang terbaik untuk menghasilkan gol pada babak pertama tetapi pukulan penalti sudut pemain pertahanan, Jiwa Mohan tepat ke tubuh penjaga gol Daniel McPherson.

Australia, yang dibarisi oleh pemain-pemain berpengalaman, pada awalnya dijangka akan menghujani kubu Malaysia dengan serangan pada babak kedua, sifat normal mereka dalam mana-mana perlawanan tetapi benteng skuad negara yang dipimpin oleh ketua pasukan Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Nor jelas sudah bersedia.

Bagaimanapun, mereka tidak mampu menghalang serangan solo pemain bertubuh sasa Travis Brooks yang membuat larian dari tengah padang, menewaskan empat pemain sebelum merembat kencang ke sebelah kanan Kumar untuk gol kedua pada minit ke-63.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4vsZJvB2g
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan