Rabu, 18 Oktober 2017

Malaysia kecundang lagi



ARKIB : 03/12/2007

KUALA LUMPUR – Britain bangkit daripada ketinggalan satu gol apabila menjaringkan tiga gol, termasuk gol kontroversi, selepas rehat untuk memusnahkan impian skuad negara mencatat kemenangan pertama pada kejohanan hoki Trofi Juara-juara apabila menang 3-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Ben Hawes menghancurkan harapan Malaysia apabila menjaringkan gol kemenangan Britain pada minit 67, empat minit selepas anak-anak didik Sarjit Singh menyamakan kedudukan 2-2.

Ia adalah kemenangan pertama Britain manakala Malaysia masih belum mengutip mata selepas tiga perlawanan.

Malaysia mengekalkan rentak berani dengan menyerang sejak awal dan kelihatan mampu meraih mata pertama apabila penyerang lincah Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menyambung pukulan bebas ketua pasukan Mohd. Mazli Ikmar Mohd. Nor untuk gol sulung perlawanan pada minit 13.

Gawang skuad negara kemudiannya diancam apabila Britain mendapat dua penalti sudut namun semuanya dapat dibendung untuk mendahului 1-0 ketika babak pertama tamat.

Malaysia melepaskan dua peluang untuk mengukuhkan kedudukan apabila pemain pertahanan Baljit Singh Sarjab menyaksikan pukulan penalti sudutnya ditampan kemas oleh penjaga gol lawan Ali McGregor pada minit 37 dan 38.

Sebaliknya, serangan kilat Britain berjaya meletakkan mereka di depan dalam tempoh dua minit. Stephen Dick menyamakan kedudukan pada minit 50 menerusi gol kontroversi apabila kelihatan gagal menyentuh bola yang meleret laju dari luar kawasan D dan menyebabkan pengadil pada mulanya teragak-agak untuk mengesahkan jaringan sebelum Rob Moore menambah gol kedua pada minit 52.

Pada minit 53, Malaysia kehilangan penyerang berpengalaman Chua Boon Huat yang dihantar ke bangku pesalah namun tidak menggugat semangat rakan-rakannya yang berjaya menyamakan kedudukan 10 minit kemudian apabila serangan balas dari kanan menyaksikan Tengku Ahmad Tajuddin berjaya menerobos ke kawasan D sebelum bola masuk ke haluan Mohd. Shahrun Nabil Abdullah untuk menjaringkan gol dari jarak dekat.

Bagaimanapun, hajat peminat untuk menyaksikan skuad negara sekurang-kurangnya mencatat seri musnah empat minit kemudian apabila Hawes memukul kencang dari hujung Kawasan D pasukan negara untuk menewaskan S. Kumar buat kali ketiga.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4vu7UjS9B
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan