Sabtu, 14 Oktober 2017

Malaysia kukuh kedudukan - Belasah Hong Kong 13-1 di Kejohanan Hoki Piala Asia



ARKIB : 02/09/2007

KUALA LUMPUR – Pasukan negara melakar kemenangan besar kedua berturut -turut dengan membelasah Hong Kong 13-1 dalam perlawanan Kumpulan A, Kejohanan Hoki Piala Asia di Chennai, India, semalam.

Malaysia bagaimanapun dikejutkan apabila ketinggalan 0-1 menerusi jaringan awal Hong Kong pada minit ke-12, sebelum membuktikan kehebatannya dengan menyumbat 13 gol.

Kemenangan tersebut, yang menyusul sehari selepas pasukan negara membenam Singapura 8-0 pada hari pertama membolehkan Malaysia mengungguli Kumpulan A dengan mengumpul enam mata maksimum.

Pemain tengah, Kelvinder Singh dan tonggak pertahanan Malaysia, Baljit Singh masing-masing menyumbat hatrik untuk mengetuai kemenangan besar negara.

Zulkifli Md. Rejab pula menyumbang dua gol, manakala ketua pasukan, Chua Boon Huat, Jiwa Mohan, Tengku Ahmad Tajudin, Mohd. Shahrun Nabil Abdullah dan S. Selvaraju menambah satu gol setiap seorang.

Walau pun Hong Kong mengejutkan Malaysia dengan membuka jaringan menerusi Mohammed Swalik pada minit ke-12, namun pasukan negara tidak perlu menunggu lama untuk kembali berada di landasan sebenar.

Kelvinder berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hanya seminit kemudian dengan memukul bola dari sudut tirus sebelum menambah gol kedua menerusi Baljit pada minit ke-22.

Tonggak pertahanan, Zulkifli melebarkan kedudukan 3-1 pada minit ke-25, manakala Kelvinder menjadikannya 4-1 (minit 27), diikuti jaringan Jiwa (30) dan Boon Huat pada minit 33, yang membolehkan Malaysia menamatkan babak pertama dengan 6-1.

Pasukan negara menggandakan asakan pada separuh masa kedua dengan menyumbat tujuh lagi gol menerusi Baljit Singh (41, 52), Tengku Ahmad (45), Zulkifli (56), Kelvinder (58), Shahrun (68) dan Selvaraju (70).

Kemenangan ini memberi keceriaan kepada jurulatih negara, Sarjit Singh yang pada awalnya kurang gembira dengan tindakan penganjur menempatkan perlawanan Malaysia-Hong Kong di padang dua.

Padang dua terletak kira-kira tujuh kilometer dari stadium utama, sekali gus menyebabkan pasukan negara terlepas untuk menonton satu lagi saingan Kumpulan A, yang menyaksikan Jepun mengejutkan Pakistan 3-1.

‘‘Kami meminta penganjur agar menukar waktu perlawanan tetapi mereka tidak membenarkan, dan sekarang saya terlepas untuk menonton satu perlawanan penting,’’ kata Sarjit.

Jepun, yang melakar kemenangan pertama ke atas bekas juara dunia, Olimpik dan juara Piala Asia tiga kali, Pakistan bakal menjadi pencabar ketiga pasukan negara , Selasa ini.

Sementara itu, dalam perlawanan Kumpulan A, juara Sukan Asia, Korea Selatan mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu Kumpulan B dengan membelasah Thailand 16-0, rekod kemenangan terbesar dalam sejarah hoki antarabangsa.

China, yang kalah tipis 1-0 kepada India dalam perlawanan pembukaannya, bangkit mencipta kemenangan 6-0 ke atas Bangladesh.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vYPxOkal
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan