Ahad, 19 November 2017

Malaysia bernafas kembali



ARKIB : 11/04/2008

KUALA LUMPUR - Malaysia kembali menghidupkan peluang untuk layak ke Sukan Olimpik Beijing Ogos ini, selepas mencatatkan kemenangan ke atas pasukan Switzerland 4-3 di Kakamigahara, Jepun semalam, lapor FERZALFIE FAUZI.

Gol Malaysia disumbangkan oleh Muhd. Razie Abd. Rahim pada minit ke-15, 67, manakala dua gol lagi dijaringkan oleh Chua Boon Huat pada minit ke-35 dan Kevinder Singh Makbul Singh pada minit ke-41 yang memberikan tiga mata berharga buat Malaysia.

Perlawanan pada separuh masa pertama agak seimbang di antara kedua-dua pasukan walaupun Malaysia mendahului pada separuh masa pertama melalui jaringan padang Muhd. Razie pada minit ke-15.

Selang beberapa saat selepas itu Malaysia dikejutkan dengan jaringan penyamaan pantas Switzerland menerusi sentuhan mudah Thomas Gahwiler.

Bagaimanapun Malaysia kembali mendahului pasukan dari Eropah itu menerusi jaringan pemain berpengalaman, Chua Boon Huat pada minit ke-35 menerusi pukulan cantik sebelum perlawanan separuh masa pertama ditamatkan.

Enam minit selepas perlawanan bersambung Kevinder Singh menjaringkan gol ketiga Malaysia tatkala pemain negara menguasai permainan pada awal babak kedua dan pada minit ke-51, Ismail Abu mempunyai peluang untuk menjadikan kedudukan 4-1 namun pukulannya tersasar.

Switzerland menambah jaringan menerusi Thomas Gahwiler pada minit ke-64 selepas menerima hantaran kebelakang yang menarik dari Ulrich Bergman, bagaimanapun Malaysia yang menguasai permainan pada babak kedua berjaya menambah jaringan menerusi Muhd. Razie lima minit sebelum perlawanan tamat.

Dalam masa tambahan Switzerland berjaya menjaringkan gol ketiga melalui pukulan sudut penalti oleh Philip Keller tetapi sudah terlambat untuk menyekat kemenangan Malaysia.

Skuad negara harus mencatatkan kemenangan ketika bertemu Jepun esok dalam perlawanan terakhir peringkat round robin. Dua pasukan teratas kumpulan itu akan bertemu dalam perlawanan akhir.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ysFKKZCX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan