Rabu, 6 Disember 2017

Malaysia nyaris kejutkan Pakistan

ARKIB : 05/10/2008

KUALA LUMPUR - Malaysia terlepas peluang untuk mencapai kemenangan sulung dan mencipta kejutan apabila diikat Pakistan 2-2 dalam perlawanan keduanya pada Kejohanan Hoki Empat Negara Master Hamburg, semalam.

Skuad negara bimbingan Sarjit Singh mendahului lawan dua kali menerusi pukulan sudut penalti oleh Amin Rahim pada minit keempat dan tampanan Azlan Misron (52) tetapi membazirkan dua lagi peluang menambah gol.

Malaysia menguasai perlawanan dengan mencipta lebih banyak peluang jaringan manakala barisan pertahanan serta penjaga gol, S. Kumar turut bertindak cemerlang menyekat percubaan lawan khususnya daripada sudut penalti.

Pukulan deras Amin pada minit ke-69 terutamanya cuma sipi beberapa sentimeter dari gawang Pakistan selepas Malaysia mensia-siakan dua sudut penalti dalam tempoh dua minit sebelumnya.

Pakistan yang membenam Belgium 6-3 kelmarin, nyaris berputih mata sebelum diselamatkan dengan jaringan Shakeel Abbasi pada minit ke-50 dan Abdul Haseem Khan, tujuh minit kemudian.

Skuad negara akan menentang Belgium pada perlawanan terakhirnya pukul 6 petang hari ini waktu Malaysia yang mungkin mampu memperbaiki pencapaian tempat ketiga pada 2002 sekiranya mencapai kemenangan sulung.

Kelmarin, Malaysia mengejutkan tuan rumah yang juga juara Sukan Olimpik Beijing, Jerman 1-1 hasil jaringan penyamaan S. Selvaraju yang baru-baru ini bermain dengan sebuah kelab Berlin di negara Eropah itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50Wlpz31s
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan