Jumaat, 19 Januari 2018

Skuad remaja negara tumpas

ARKIB : 12/03/2009
Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH
sukan@utusan.com.my
JOHOR BAHRU - Malaysia gagal mengutip mata penuh dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Hoki Remaja Undangan Empat Negara apabila tumpas 1-3 kepada India di Stadium Hoki Taman Daya di sini, semalam.

Kepantasan lawan dan kegagalan skuad negara mengawal permainan merupakan faktor utama kekalahan tersebut hingga membenarkan India mendapat 11 pukulan sudut pendek dalam perlawanan yang dianggap berat sebelah itu.

India dilihat bijak menggunakan kelajuan pemainnya ketika menewaskan skuad kendalian K. Rajan itu apabila berjaya mempamerkan aksi menggelecek menerusi kawalan bola yang baik.

Namun pujian harus diberikan kepada penjaga gol negara, Adnan Abdul Hakim yang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya lawan terutamanya menerusi pukulan sudut pendek yang bertali arus.

India yang mengasak sejak minit pertama perlawanan bagaimanapun terpaksa menunggu hingga ke penghujung separuh masa pertama untuk mendapat gol sulung hasil kelam-kebut di depan pintu gol menerusi jaringan padang S.Victo.

Namun gerakan menarik hasil pukulan sudut pendek antara Saari Faizal dan Ahmad Tajuddin Izwan Firdaus pada minit ke-42 membolehkan Malaysia menyamakan kedudukan menjadi 1-1.

Kedudukan itu hanya bertahan lima minit sahaja apabila India kembali di depan menerusi gol H. Belsegar yang tepat menuju ke jaring hasil pukulan sudut penalti.

Koordinator pasukan Malaysia, Paul Lissek yang ditemui berkata, kekalahan skuad negara itu berpunca sikap pemain yang membiarkan pasukan lawan merasakan diri mereka lebih kuat.

"Pemain perlu bijak mengawal permainan dan mengelak melakukan kesilapan mudah. Mereka harus mengetahui bagaimana untuk menghadapi ancaman lawan yang pantas menyerang dan bertahan," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz54gEeHLJt

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan